ANTARA aksi Izzah. FOTO AP
ANTARA aksi Izzah. FOTO AP
Daripada Amirullah Andi Nur


Birmingham: Ketiadaan jurulatih Rusia, Yulia Ivanova dan Udia Legotina mungkin jadi punca skuad gimrama negara gagal dalam usaha mendapat pingat dalam dua acara awal yang dipertandingkan pada Sukan Komanwel 2022 di sini.

Setiausaha Agung Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Afrita Ariany Nasril tidak menolak kemungkinan itu selepas skuad negara gagal meraih pingat dalam acara berpasukan kelmarin dan all-around individu menerusi Izzah Amzan dan Ng Joe Ee, semalam.

Beliau turut mengaitkan prestasi tidak konsisten pasukan yang turut diperkuatkan Koi Sie Yan itu sebagai antara faktor mereka terlepas pingat.

Dalam acara yang diadakan di Utilita Arena Birmingham itu, skuad negara hanya mampu menduduki tempat keempat bagi acara berpasukan manakala Izzah di tempat keempat dan Joe Ee pula kelima.

"Ya, rasanya begitu. Tanpa jurulatih peribadi, mereka jelas tidak dapat memperagakan aksi terbaik biarpun kami sudah berusaha melakukan pelbagai cara.

"Kami berasakan mereka memerlukan sentuhan peribadi jurulatih sendiri bagi menghadapi pertandingan sebesar ini," katanya mengulas kegagalan skuad negara meraih pingat dalam dua acara awal sukan gimrama temasya Sukan Komanwel di sini.

Skuad gimrama negara tidak dapat menggunakan khidmat Ivanova dan Legotina pada temasya ini selepas kerajaan United Kingdom (UK) tidak memberikan mereka visa susulan sekatan kemasukan warga mereka ke negara ini.

Berikutan itu, dua jurulatih tempatan iaitu Lim Wen Chean dan Afrita terpaksa dihantar bagi mengisi kekosongan berkenaan.

Sebelum ini, skuad gimrama dilaporkan tidak akan akan terjejas tanpa kehadiran Ivanova dan Legotina selepas mengadakan perbincangan awal mengenainya.

Semalam, Izzah kecewa selepas terlepas pingat gangsa apabila dipintas di saat akhir dalam saingan acara all-around individu, susulan prestasi tidak konsisten.

Mengulas lanjut, Afrita berkata pihaknya sebolehnya tidak mahu isu ketiadaan dua jurulatih Russia berkenaan menjejaskan tumpuan Izzah, Sie Yan dan Joe Ee sepanjang berada di sini.

Katanya, selain isu itu, mereka juga berdepan masalah kemudahan tempat latihan, namun cuba diatasi dengan sebaik mungkin.

Dalam pada itu Izzah yang sebak susulan kegagalannya memenangi pingat enggan ditemubual sejurus selesai pertandingan bagi acara all-around individu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 5:00 PM