PENGURUS pasukan gimrama negara, Corine Beh Yeat Chen (tengah) bersama dua jurulatih dari Rusia, Yulia Ivanova (kiri) dan Udia Legotina. FOTO ASWADI ALIAS
PENGURUS pasukan gimrama negara, Corine Beh Yeat Chen (tengah) bersama dua jurulatih dari Rusia, Yulia Ivanova (kiri) dan Udia Legotina. FOTO ASWADI ALIAS
BERNAMA

Birmingham: Biarpun tidak dapat bersama dengan anak didik mereka, kedua-dua jurulatih pasukan gimrama negara dari Rusia yang dihalang memasuki United Kingdom, akan terus 'berhubung' dengan kem gimrama kebangsaan sepanjang Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Afrita Ariany Nasril berkata, mereka tidak mempunyai pilihan selain melakukan latihan menerusi interaksi secara dalam talian bagi memastikan gimnas di sini tidak terputus hubungan dengan jurulatih mereka yang berada di Malaysia, di saat genting ini.

"Kami cuba menyesuaikan diri dengan keadaan, memberi sokongan kepada atlet kita dan memastikan mereka terus berkomunikasi dengan jurulatih melalui aplikasi mesyuarat 'Zoom' manakala saya dan jurulatih tempatan Lim Win Chean akan membantu melatih gimnas di sini.

"Tiada bantahan daripada penganjur setakat ini mengenai inisiatif kami meminta jurulatih Rusia memberi tunjuk ajar secara dalam talian secara langsung dari Malaysia, mereka amat memahami situasi itu," katanya kepada Bernama.

Media sebelum ini melaporkan dua jurulatih gimnastik Rusia bagi skuad gimnastik negara untuk Birmingham 2022 mungkin menghadapi masalah visa.

Tanpa mendedahkan nama mereka, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kedua-duanya jurulatih itu mungkin akan berhadapan masalah berkaitan sekatan kemasukan yang dikenakan oleh kerajaan UK ke atas warga Rusia berikutan konflik Rusia-Ukraine.

Afrita berkata, latihan fizikal dan dalam talian akan dilakukan serentak selama sekurang-kurangnya lima jam setiap hari sebagai sebahagian daripada persiapan mereka menjelang acara di Arena Birmingham.

Sementara itu, bekas gimnas negara itu berkata, mereka sudah melupakan masalah itu, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada misi mencapai sasaran satu emas dalam temasya sukan ini.

"Sudah tentu ada perbezaan sedikit tetapi seperti saya katakan kita tidak fokus kepada masalah itu, sebaliknya kita cuba mencari jalan penyelesaian agar tidak mengganggu mental dan fizikal atlet kita," katanya.

Tiga gimnas negara - Koi Sie Yan, Ng Joe Ee dan Izzah Amzan - akan memulakan aksi mereka di Birmingham 2022 pada 4 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 9:01 PM