DJOKOVIC kini hampiri rekod Pete Sampras. -FOTO Reuters
DJOKOVIC kini hampiri rekod Pete Sampras. -FOTO Reuters
AFP

London: Novak Djokovic dan Carlos Alcaraz semakin menghampiri pertembungan antara dua generasi di Wimbledon ketika saingan wanita menyaksikan hanya empat pemain dalam kelompok 10 terbaik masih bertahan.

Juara bertahan tiga kali, Djokovic menewaskan rakan senegara dari Serbia, Miomir Kecmanovic 6-0, 6-3, 6-4 pada pusingan ketiga dan kekal di landasan terbaik untuk menyamai rekod Pete Sampras sebagai juara tujuh kali, ketinggalan satu gelaran di belakang Roger Federer untuk perseorangan lelaki.

Ia adalah kemenangan ke-330 Djokovic dalam karier Grand Slamnya.

"Setakat ini semua sangat bagus," kata pilihan utama berusia 35 tahun itu.

"Saya mengharapkan standard yang tinggi diri diri saya sendiri. Anda sentiasa mahu meningkatkan tahap dan keadaan menjadi semakin baik."

Djokovic kini memenangi 22 perlawanan berturut-turut di atas gelanggang rumput dan berada dalam kelompok 16 terakhir buat kali ke-14.

Kali terakhir dia tewas di gelanggang rumput ialah kepada Marin Cilic pada final di Queen's Club empat tahun lalu.

Djokovic akan bertemu pemain wild card Tim van Rijthoven dari Belanda selepas ini. Bermain pada penampilan sulungnya di undian utama, pemain nombor 104 dunia itu mengejutkan Nikoloz Basilashvili dari Georgia, 6-4, 6-3, 6-4.

Van Rijthoven, 25, membuktikan keupayaannya di gelanggang rumput dengan menjuarai Hertogenbosch bulan lalu, menewaskan pemain nombor satu dunia Daniil Medvedev di final.

Dalam saingan wanita, Maria Sakkari menjadi pemain keenam dari kelompok 10 teratas tersingkir awal sebelum pusingan keempat.

Pilihan kelima dari Greece itu tewas 6-3, 7-5 di tangan pemain nombor 103 dunia dari Jerman, Tatjana Maria, yang kembali menyertai jelajah tahun lalu selepas cuti bersalin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 8:21 AM