JUARA dunia dari Serbia, Novak Djokovic membalas pukulan pemain Hungary, Marton Fucsovics ketika aksi suku akhir Wimbledon, hari ini. FOTO AFP
JUARA dunia dari Serbia, Novak Djokovic membalas pukulan pemain Hungary, Marton Fucsovics ketika aksi suku akhir Wimbledon, hari ini. FOTO AFP
AFP

London: Pemain nombor satu dunia yang juga juara lima kali, Novak Djokovic mara buat kali ke-10 ke separuh akhir Wimbledon, hari ini, dengan kemenangan mudah ke atas pemain Hungary, Marton Fucsovics.

Djokovic yang berusaha menyamai rekod 20 gelaran Grand Slam menang 6-3, 6-4, 6-4 dan akan berdepan sama ada pemain Russia, Karen Khachanov atau Denis Shapovalov dari Kanada di separuh akhir dan merebut tempat ke final, Ahad ini.

Ia adalah kemenangan ke-100 Djokovic, 34, di atas gelanggang rumput pada ketika dia melangkah ke separuh akhir kejohanan utama untuk kali ke-41.

"Ia adalah prestasi mantap, saya bermula dengan baik dan tidak banyak buat silap pada lima permainan awal," kata Djokovic.

"Pujian diberikan kepada Marton kerana semangat melawannya dan dia melalui kejohanan yang baik."

Djokovic muncul pemain lelaki ketiga menang semua empat gelaran Grand Slam lebih sekali, apabila memenangi Terbuka Perancis untuk kali kedua, bulan lalu.

Kini, dia berada pada landasan menjadi pemain lelaki pertama sejak 1969 dan ketiga dalam sejarah, melengkapkan kalendar Grand Slam dengan semua empat gelaran.

"Saya sedar mengenai statistik itu dan saya mencintai sukan ini dengan sepenuh hati, badan dan jiwa sehingga mula terbabit sejak berusia empat tahun," katanya.

"Ada kalanya, terjadi sesuatu yang tidak menentu, tetapi saya cuba meneruskan hidup pada ketika itu dan menggunakan setiap peluang di tengah gelanggang.

"Peluang mencipta sejarah menjadi inspirasi hebat buat saya, jadi biarkan ia berterusan."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 11:44 PM