PEMAIN tenis Serbia, Novak Djokovic. FOTO EPA
PEMAIN tenis Serbia, Novak Djokovic. FOTO EPA
AFP

MELBOURNE: Novak Djokovic memulakan kempen untuk menjulang gelaran ketujuh Terbuka Australia dengan bergaya apabila menyingkirkan pemain ranking ke-230 dunia dari Amerika Syarikat (AS), Mitchell Krueger 6-3, 6-2, 6-2 di pusingan pertama, hari ini.

Pemain nombor satu dunia itu mara ke pusingan kedua buat kali ke-13 berturut-turut dan langsung tidak mampu dicabar pemain kelayakan, Krueger yang membuat penampilan sulung di Melbourne Park.

Djokovic yang tampil dalam perlawanan ke-300 Grand Slam tidak menggugurkan sebarang servis selepas ketinggalan 1-2 pada set pertama apabila mempamerkan kekuatan sebenarnya untuk meraih kemenangan ke-259 di kejohanan utama.

“Bermain menentangnya buat pertama kali, saya tidak tahu apa yang perlu dijangkakan,” kata pilihan utama dari Serbia itu. “Dia amat kompetitif dan saya perlu bekerja keras. Saya menikmatinya, dan harapnya kamu semua turut menikmatinya.”

Djokovic menamatkan kempen musim lalu dengan menakjubkan selepas terkeluar daripada kelompok 20 terbaik dunia pada Jun apabila memenangi Wimbledon dan Terbuka AS sebelum bergelar pemain nombor satu dunia pada November.

Ia perbezaan yang amat ketara ketika penyingkirannya di Melbourne tahun lalu kepada pemain Korea Selatan, Chung Hyeon di peringkat 16 terakhir sebelum dia bergelut dengan masalah siku.

Pada pusingan kedua, Djokovic akan bertemu musuh tradisinya yang juga bintang Perancis, Jo-Wilfried Tsonga.

“Saya amat menghormati Jo,” kata Djokovic. “Kami akan bertemu sekali lagi di atas gelanggang yang hebat ini. Saya tidak sabar untuk menantinya.”

 Tsonga yang juga bekas pemain nombor empat dunia tersisih hampir tujuh bulan pada 2018 selepas menjalani pembedahan lutut dan memerlukan tiket wildcard untuk menyertai Terbuka Australia selepas berada di luar kedudukan ranking 200 dunia.

Begitupun, pemain berusia 33 tahun itu yang pernah mara ke lima aksi separuh akhir kejohanan Grand Slam tetap dilihat sebagai lawan yang berbahaya selepas mara ke peringkat empat terbaik kejohanan pemanas badan di Brisbane.

Sebagai rekod, Tsonga adalah seorang daripada tiga pemain yang pernah merekodkan kemenangan ke atas Djokovic, Roger Federer dan Rafael Nadal ketika mereka menghuni ranking nombor satu dunia selain Andy Murray dan Juan Martin del Potro.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 8:11 PM