DJOKOVIC membalas pukulan Cachin pada perlawanan pusingan pertama Wimbledon, hari ini. FOTO AFP
DJOKOVIC membalas pukulan Cachin pada perlawanan pusingan pertama Wimbledon, hari ini. FOTO AFP
AFP

London: Novak Djokovic memulakan kempen untuk memburu gelaran kelapan Wimbledon dengan kemenangan ke-40 berturut-turut di Centre Court, hari ini.

Djokovic, 36, yang memenangi empat gelaran terakhir di All England Club, menewaskan pemain ranking ke-68 dunia dari Argentina, Pedro Cachin 6-3, 6-3, 7-6 (7/4) di gelanggang utama kejohanan yang menyaksikan dia tidak tewas di situ sejak 2013.

Malah, Djokovic mengambil masa membantu staf mengeringkan gelanggang rumput paling terkenal di dunia itu berikutan ia menjadi agak licin selepas hujan.

Bumbung gelanggang itu ditutup, tetapi perlawanan tidak disambung selama kira-kira 90 minit, sekali gus mengecewakan peminat.

"Apabila saya keluar ke gelanggang, saya membawa raket, bukannya tuala," kata Djokovic yang menyifatkan gelanggang itu sebagai 'mangkuk suci, kuil bagi tenis'.

Dia berkata: "Keadaan tidak bagus di bawah bumbung, gelanggang masih licin. Saya fikir, keadaan ini mengecewakan peminat yang menanti untuk melihat kami beraksi."

Pemain Serbia itu yang mahu menyamai pencapaian Roger Federer yang menang lapan gelaran Wimbledon akan berdepan pemain Australia, Jordan Thompson untuk memburu tempat ke pusingan ketiga.

Djokovic yang menduduki ranking kedua dunia sudah memenangi gelaran Terbuka Australia dan Terbuka Perancis pada tahun ini.

Dia mencipta rekod bagi lelaki dengan 23 gelaran utama di Paris dan kini ketinggalan satu gelaran untuk menyamai rekod sepanjang zaman milik Margaret Court dengan 24 kejuaraan.

Dia kini separuh jalan untuk menang semua gelaran Grand Slam dalam semusim sejak pencapaian Rod Laver pada 1969.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 8:46 AM