ABD Halim (tiga kiri) pada Majlis Pelancaran Fun Ride kayuhan semarak kemerdekaan di hadapan pejabat MZ Gold di Jalan Temenggong di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
ABD Halim (tiga kiri) pada Majlis Pelancaran Fun Ride kayuhan semarak kemerdekaan di hadapan pejabat MZ Gold di Jalan Temenggong di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Menyasarkan 3,000 peserta yang akan mendaftar, program kayuhan semarak kemerdekaan yang dianjurkan kali ini dijangka akan disertai peserta dari negara luar.

Menyediakan pelbagai hadiah lumayan bernilai RM150,000 program anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Group Gatih Amal (GGA) yang berkolaborasi dengan Syarikat MZ Gold serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat itu dianggap program kayuhan terbesar setakat ini.

Pengerusi GGA, Abd Halim Shafai berkata, program yang menjadi acara tahunan kelabnya itu bakal mengumpulkan peserta daripada beberapa negeri termasuk luar negara iaitu Thailand.

"Kayuhan Semarak Kemerdekaan ini akan diadakan pada 27 Ogos ini dan kami lihat penganjurannya bersesuaian dengan situasi sempadan negara yang sudah dibuka sekarang di mana bukan hanya merangkumi peserta Kelantan tapi juga negeri luar serta Thailand sendiri.

"Laluan kayuhan itu nanti membabitkan daerah Tumpat iaitu sejauh 40 kilometer (km) dan pendaftarannya boleh dibuat bermula hari ini sehingga 31 Julai ini melalui dalam talian," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Antara yang menjadi tarikan dalam acara itu nanti adalah tiga hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah Perodua Bezza, Yamaha NVX dan Yamaha Y15 selain set barang kemas.

Terdahulu acara pelancaran perasmian dilakukan di hadapan pejabat MZ Gold di Jalan Temenggong di sini dengan pemotongan riben serta melepaskan beberapa biji belon.

Sebanyak RM1,000 wang tunai turut 'dilepaskan' yang mana 10 daripada belon itu diisi dengan kupon bernilai RM100 yang boleh dituntut di premis MZ Gold.

Ketua Pegawai Eksekutif MZ Gold, Murtadhatumizi Mustapha berkata, penganjuran program itu lebih kepada kayuhan santai untuk merapatkan hubungan dan silaturrahim.

"Bayaran penyertaan yang dikenakan hanyalah RM90 dan peserta akan diberikan baju T, pingat dan persegaran.

"Sebenarnya ini adalah kali ketiga kolaborasi pihak kami bersama GGA dalam program kayuhan tapi untuk sempena kemerdekaan, ia adalah julung kali dan kami jangka ia menerima sambutan hangat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 5:23 PM