BERGAMBAR kenangan sebelum berkayuh.
BERGAMBAR kenangan sebelum berkayuh.
PESERTA bergambar kenangan di pos kawalan pemeriksaan di Sindumin.
PESERTA bergambar kenangan di pos kawalan pemeriksaan di Sindumin.
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid


Demi menyemarakkan semangat kemerdekaan negara tahun ini, lebih 20 ahli Persatuan Berbasikal Beaufort (BCT), Sabah menyahut cabaran berkayuh merentasi sempadan ke negeri jiran iaitu Sarawak sejauh 155 kilometer (km) baru-baru ini.

Aktiviti sempena Program Kayuhan Merdeka yang julung kali dilaksanakan BCT itu bagi mengeratkan persaudaraan antara Sabah dan Sarawak.

Bermula dari daerah Sipitang, peserta kayuhan bergerak seawal jam 10 pagi dari Esplanade Sipitang dan merentasi pos kawalan sempadan sejam kemudian.

Selepas membuat pemeriksaan dan dokumen diri di pos kawalan sempadan Sindumin, peserta berkayuh secara santai menuju ke destinasi iaitu daerah Lawas, Sarawak.

Sepanjang perjalanan, peserta melalui pelbagai cabaran antaranya cuaca panas, angin kencang selain keadaan muka bumi berbukit-bukau.

Namun cabaran itu tidak mematahkan semangat mereka untuk tiba di Lawas kira-kira jam 2 petang selepas berkayuh hampir tiga jam.

Sebaik tiba di daerah itu, semua peserta bertemu rakan Persatuan Berbasikal Lawas (PBL) bagi bertukar-tukar cenderamata dalam satu majlis ringkas.

Presiden BCT, Yunus Abdul Rajah berkata, kayuhan santai itu bagi meniup semangat cintakan negara yang terkenal de­ngan keamanan dan kedamaian.

Katanya, program itu dirancang beberapa hari sebelum kayuhan bermula yang berjaya dilaksanakan meskipun berdepan cabaran sepanjang perjalanan menuju ke Lawas.

“Kami memilih daerah Sipitang sebagai lokasi permulaan kerana ia hampir dengan daerah Lawas selain mengambil masa yang pendek untuk berkayuh.

“Idea berkayuh ini adalah hasil cetusan ahli BCT yang ingin merasai cabaran berkayuh jarak jauh dan memilih Lawas sebagai lokasi pertemuan rakan dari negeri jiran,” katanya.

Yunus berkata, kayuhan santai itu turut disertai beberapa peserta dari Kota Kinabalu yang turut menyahut cabaran berkayuh sempena hari kemerdekaan.

Katanya, mereka bercadang menganjurkan kayuhan seumpama ini pada masa akan datang dalam memupuk semangat cintakan negara selain mengamalkan gaya hidup sihat.

Terdahulu, program selama dua hari itu turut diisi dengan aktiviti kayuhan malam melalui beberapa jalan sekitar daerah Lawas selain bertukar-tukar pandangan antara ahli BCT dan PBL.

Rata-rata peserta kayuhan mengakui seronok apabila dapat menamatkan kayuhan selama dua hari selain me­nyahut cabaran sempena hari kemerdekaan selaras dengan tema kemerdekaan iaitu ‘Sehati, Sejiwa’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 5:01 AM