SHAHRUL (dua dari kanan) membantu TSG terus menguasai kedudukan podium. FOTO Ihsan Pasukan Terengganu Polygon Cycling
SHAHRUL (dua dari kanan) membantu TSG terus menguasai kedudukan podium. FOTO Ihsan Pasukan Terengganu Polygon Cycling
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba Pasukan Terengganu Polygon Cycling (TSG), Mohd Shahrul Mat Amin mencuri tumpuan pada saingan peringkat kelima Jelajah Thailand apabila menamatkan saingan di tempat kedua.

Ketika harapan disandarkan kepada pelumba pecut mereka, Mohd Harrif Saleh untuk mencatatkan kemenangan hatrik selepas mengungguli peringkat ketiga dan keempat namun pecahan yang berlaku ketika perlumbaan berbaki 40 kilometer (km) menyebabkan Harrif ketinggalan di kelompok belakang.

Shahrul bagaimanapun yang dapat mencelah untuk bersama kelompok pecahan sekali gus membolehkan TSG terus menguasai kedudukan podium dan mengekalkan jersi ungu (pelumba terbaik Asean).

Pada saingan peringkat kelima yang bermula di Nakhon Phanom sejauh 163km itu menyaksikan pelumba pasukan kebangsaan Thailand, Nattapol Jumchat muncul juara dengan catatan 3 jam 29 minit 34 saat manakala Allan Banaszek dari pasukan HRE Mazowsze Serce Polski di kedudukan ketiga.

Bagi Shahrul, kejayaannya meraih kedudukan podium apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua itu adalah hasil usaha bersama pasukan biarpun perancangan awal untuk memastikan penamat beramai-ramai ke garisan penamat tidak menjadi.

"Syukur Alhamdulillah dapat tempat kedua untuk pasukan hari ini. Perancangan awal kami adalah untuk dapatkan penamat beramai-ramai di garisan penamat.

"Tapi tak menjadi apabila berlaku pecahan ketika perlumbaan berbaki 40km dan saya dapat berada di kelompok depan untuk kawal perlumbaan.

"Alhamdulillah kejayaan hari ini juga membolehkan kami TSG mengekalkan Jersi Ungu," katanya.

Esok perlumbaan peringkat terakhir menawarkan laluan bermula dari Nakhon dan tamat di Mukdahan sejauh 165.30km dengan tiga zon pecutan ditawarkan dan penamat di kawasan pendakian kategori 1

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 4:36 PM