Jambaljamts (kiri)  dan Amirullah menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga peringkat ketiga Jelajah Thailand. FOTO TSG
Jambaljamts (kiri) dan Amirullah menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga peringkat ketiga Jelajah Thailand. FOTO TSG
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Satu lagi persaingan yang sengit menuju ke garisan penamat pada hari ketiga perlumbaan Jelajah Thailand yang menyaksikan hasrat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) untuk muncul juara peringkat tidak kesampaian.

Bagaimanapun kali ini giliran Nur Amirullah Fakhruddin Mazuki menamatkan saingan dari Patthalung ke Trang sejauh 146 kilometer (km) di tempat kedua.

Manakala seorang lagi pelumba TSG, Jambaljamts Sainbayar di kedudukan ketiga dalam saingan yang dikuasai pelumba dari Thailand Continental Cycling Team, Sarawut Sirironnachai dengan catatan masa 3 jam 24:26 saat.

Sarawut kini mendahului senarai pelumba untuk membolehkannya menyarung jersi kuning manakala Lucas Carstensen meraih Jersi Hijau selaku raja pecut.

Manakala raja bukit milik pelumba Roojal.com Cycling Team, Valentin Midey dan Irwandie Lakasek yang semalam menyarung Jersi Ungu, pelumba terbaik Asia terpaksa melepaskan kepada Sarawut.

Bagi Amirullah ia satu keputusan positif yang kembali menyertai perlumbaan antarabangsa selepas pulih daripada pembedahan lutut Februari lalu.

"Alhamdulillah hari ini, TSG boleh menang dua tiga. Perlumbaan hari ini agak mencabar apabila berlaku pecahan di tengah perlumbaan.

"Mujur ada dua pelumba TSG dari 16 pelumba yang melakukan pecahan itu. Apapun esok kami akan cuba lagi untuk muncul juara peringkat," katanya.

Saingan peringkat keempat menawarkan laluan sejauh 143.70km akan bermula dari Trang ke Pak Meng Beach dan kembali ke Trang.

Laluan berkenaan menyajikan dua zon pecutan dan dijangka penyudah beramai-ramai ke garisan penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 5:52 PM