KEMENANGAN Harrif dibatalkan. FOTO TSG
KEMENANGAN Harrif dibatalkan. FOTO TSG
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Impian pelumba Terengganu Polygon Cycling (TSG), Mohd Harrif Saleh untuk mencari penamat sensasi di Tour Thailand musnah selepas kemenangannya di peringkat terakhir petang tadi dibatalkan.

Dia yang terlebih dulu melintasi garisan penamat dari Chantaburi ke Rayong tergelincir ke kedudukan ke-70.

Komisar mendapati Harrif tersasar pada laluannya ketika penutup beramai-ramai menuju garisan penamat dalam saingan sejauh 167.9 kilometer.

"Bukan rezeki untuk saya menjuarai peringkat terakhir sedangkan saya sudah buat terbaik untuk hadiahkan podium buat rakyat Malaysia.

"Keputusan komisar menyaksikan kemenangan saya dibatalkan. Ketika saya melakukan pecutan menuju garisan penamat, saya rasa tidak melakukan sebarang kesalahan. Saya lihat kembali video ulang tayang memang jelas (tidak bersalah).

"Pelumba Thailand mendapat kelebihan dan akhirnya muncul juara sedangkan saya sudah buat yang terbaik. Kami sudah melakukan protes tapi tidak dilayan, memang sedih.

"Sebaliknya saya lihat komisar Thailand di bilik video itu pula gembira selepas mengetahui pelumbanya menang," katanya.

Pelumba pasukan benua Thailand, Sarawut Sirironnachai muncul juara perlumbaan berkenaan (3:48:52s), tempat kedua milik pelumba pasukan JCL Team UKYO, Raymond Kreder.

Kreder adalah pelumba yang dikatakan dihalang oleh Harrif, manakala tempat ketiga milik pelumba pasukan kebangsaan Thailand, Patompob Phonarjthan.

Rakan sepasukan Harrif, Jambaljamts Sainbayar menamatkan kejohanan itu di kedudukan kedua keseluruhan selepas ketinggalan 42s di belakang pemenang jersi kuning, Tegsh-bayar Batsaikhan (Roojai Online Insurance) yang mencatat masa keseluruhan, 23:38:00s.

Seorang lagi pelumba JCL Team Ukyo, Yuma Koishi (+43s) di kedudukan ketiga keseluruhan.

Pelumba pasukan kebangsaan, Nur Aiman Rosli menduduki tempat ke-16 keseluruhan dan kedudukan paling terbaik buat pelumba Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 6:05 PM