HARRIF (kanan) berjaya mengekalkan momentum juara di peringkat keempat Jelajah Thailand. FOTO Ihsan Pasukan Terengganu Polygon Cycling
HARRIF (kanan) berjaya mengekalkan momentum juara di peringkat keempat Jelajah Thailand. FOTO Ihsan Pasukan Terengganu Polygon Cycling
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba pecut negara, Mohd Harrif Saleh sekali lagi memberi impak mengagumkan apabila berjaya merangkul podium juara pada perlumbaan peringkat keempat Jelajah Thailand.

Biarpun dicabar hebat, nyata pengalaman memihak kepada Harrif dari Pasukan Terengganu Polygon Cycling (TSG) yang terlebih dahulu melintasi garisan penamat dengan catatan masa 4 jam 03 minit 47 saat dalam perlumbaan yang menyaksikan penyudah beramai-ramai.

Harrif berjaya mengekalkan momentum juara menewaskan Raymond Kreder dari pasukan Team Ukyo di tempat kedua manakala pelumba Jerman dari Bike Aid, Lucas Carstensen ketiga.

Manakala rakan pasukan TSG, Irwandie Lakasek turut berjaya menempatkan diri di kedudukan lima terbaik pada perlumbaan sejauh 176 kilometer (km).

Saingan peringkat keempat hari ini menawarkan laluan landai dengan tiga zon pecutan ditawarkan bermula dari Sakon Nakhon ke Nakhon Phanom sememangnya memberi kelebihan kepada pakar pecut seperti Harrif.

Laluan landai pada baki 5km terakhir itu menyaksikan cabaran sengit dengan Harrif dituntut mengerah keringatnya sebelum pemenang ditentukan menerusi photo finish.

Bagi Harrif kejayaan hari ini begitu bermakna buat dirinya dan pasukan TSG yang berusaha keras memastikan kemenangan milik pasukan.

"Alhamdulillah, hari ini kemenangan kedua di Jelajah Thailand dan amat bermakna bagi saya.

"Saya amat berterima kasih kepada rakan pasukan yang berusaha keras selama ini dan inilah hasilnya kita dapat lihat kejayaan di sini (Jelajah Thailand).

"Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya dan juga pasukan dan teruskan menyokong kami," katanya.

Cabaran TSG akan diteruskan pada peringkat kelima yang menawarkan laluan sejauh 163km akan bermula di Nakhon Phanom dan tamat di lokasi yang sama.

Peringkat kelima turut menawarkan laluan landai dan dijangka sekali lagi penamat beramai-ramai ke garisan penamat yang mampu untuk memberi kelebihan buat Harrif dan TSG.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 9:17 PM