Wakil Neutrovis menyumbangkan kepada Megat D Shahriman (empat kanan). FOTO Neutrovis
Wakil Neutrovis menyumbangkan kepada Megat D Shahriman (empat kanan). FOTO Neutrovis
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Di atas kejayaan atlet negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, syarikat pelitup muka, Neutrovis menyumbangkan sejumlah 250,000 unit Pelitup Separuh Muka Perubatan Premium, bernilai RM 175,000.

Pelitup muka berkenaan akan diagihkan kepada komuniti Orang Kelainan Upaya (OKU) di negeri kelahiran 22 atlit yang mewakili Malaysia, di samping 25 buah pertubuhan kebangsaan yang bernaung di bawah Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Neutrovis dan MPM berharap dapat memupuk mesej 'Mask On, Spread Hope' dalam kalangan komuniti OKU, mengingatkan mereka untuk melindungi diri dan orang yang tersayang, dengan bukan sekadar memakai pelitup separuh muka yang efektif, tetapi juga dengan pemakaian pelitup separuh muka dengan betul.

Turut hadir dalam majlis penyerahan yang berlangsung di salah sebuah hotel di ibu negara ialah Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, atlet para negara, Abdul Latif Romly, pemenang pingat emas acara Lompat Jauh kategori T20 dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, atlet 100m Lelaki kategori T36.

Menurut Ridzuan, inisiatif yang bertujuan untuk melindungi komuniti OKU ini amat penting yang mana komuniti ini memberi tumpuan kepada tahap kesihatan mereka dan sentiasa melakukan yang terbaik untuk mengelakkan daripada jatuh sakit dan dijangkiti penyakit.

"Kami yakin komuniti OKU akan berasa amat gembira untuk menerima Pelitup Separuh Muka Premium dan Neutrovis adalah Rakan Sukan Para yang terawal di dalam memberikan sokongan kepada MPM untuk Misi ke Tokyo," katanya.

Neutrovis juga menyediakan Pelitup Separuh Muka Premium kepada atlet untuk dipakai sepanjang temasya berlangsung dan mereka juga diberikan pelitup separuh muka untuk diagihkan kepada atlet negara lain bagi mempromosikan keselamatan, kepelbagaian dan harapan di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Pelitup separuh muka ini mendapat penerimaan yang baik oleh masyarakat sukan di Perkampungan Paralimpik di mana ianya menjadi kewajipan untuk sentiasa memakai pelitup separuh muka sekiranya berada di tempat awam.

Di samping itu, atlet para negara juga diberikan kemeja-T kasual yang direka khas bagi meraikan temasya berkenaan untuk dipakai di Tokyo semasa di luar waktu pertandingan.

Neutrovis juga mengambil inisiatif untuk menjual kemeja-T itu dan keseluruhan hasil jualan yang berjumlah RM17,168 disumbangkan kepada MPM sebagai penghargaan dalam membantu wira dan wirawati negara bertanding di Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 9:44 PM