TOPENG muka.
TOPENG muka.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak memantau penjualan pelitup muka di seluruh negeri itu bagi memastikan tiada produk tiruan di pasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata, pemantauan turut dibuat ke atas penjualan secara dalam talian.

Katanya, setakat ini pihak berkuasa tidak menerima laporan mengenai kegiatan itu dan menasihati orang ramai supaya membuat aduan sekiranya mengetahui mengenainya.

"Pelitup muka tiruan boleh mengakibatkan kesukaran bernafas dan menyebabkan pengguna terdedah kepada bahaya Covid-19.

"Jadi pihak KPDNHEP mengambil serius perkara ini dan pemantauan dibuat premis niaga serta dijual dalam talian, dengan tindakan diambil mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM250,000 jika sabit kesalahan atau RM500,000 bagi syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nam Hua, Tanjung Piandang di sini, hari ini.

ABDUL Yunus (dua kiri) menyantuni seorang warga emas yang menerima suntikan dos pertama di dalam program. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
ABDUL Yunus (dua kiri) menyantuni seorang warga emas yang menerima suntikan dos pertama di dalam program. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Media sebelum ini melaporkan KPDNHEP mengesan kegiatan penjualan pelitup muka jenama Neutrovis tiruan dan merampas produk bernilai RM60,000 di Johor pada baru-baru ini.

Terdahulu, 300 penerima membabitkan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) menerima vaksin Covid-19 di Movak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 1:34 PM