Pelumba basikal Malaysia, Azizulhasni Awang. FOTO File NSTP
Pelumba basikal Malaysia, Azizulhasni Awang. FOTO File NSTP
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Baru-baru ini Datuk Azizulhasni Awang ada berkongsi rahsia di laman sosial dia sempat khatam Al-Quran sebelum memulakan perjuangan memburu pingat emas pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Terkini, Azizul yang bagaimanapun meraih pingat perak acara kegemarannya keirin di Shizuoka, mendedahkan dia sering menjaga solat lima waktu dan berdamping dengan kitab suci Al-Quran sejak kecil.

"Alhamdulillah, saya dididik oleh ibu bapa dan diperkenalkan dengan Al-Quran dari kecil lagi tapi saya pun biasa-biasa saja, amalan pun takde lah hebat sangat.

"Kalau boleh saya jaga solat. Solat awal waktu dan hafal apa-apa ayat Al-Quran yang kita boleh dan baca Al-Quran. Ke mana saja saya pergi saya akan bawa buku dan Al-Quran.

"Kerana kalau kita kejar dunia kita akan tertinggal akhirat, tapi kalau kita kejar akhirat, dalam masa yang sama dunia pun akan datang kepada kita. Jadi saya cuba sebaik mungkin sebagai seorang Muslim," katanya dalam satu wawancara di saluran televisyen Al-Hijrah.

Azizul mengharumkan nama negara apabila meraih perak di Tokyo 2020 dalam acara keirin sekali gus memperbaiki pencapaian pingat gangsa di Olimpik Rio lima tahun lalu.

Dia turut mendedahkan seseorang atlet sepertinya perlu mempunyai matlamat yang jelas dalam memenuhi impian masing-masing.

"Saya rasa saya konsisten dengan apa yang saya lakukan dengan latihan, pemakanan. Kena suka dengan apa yang kita lakukan, latihan dua kali sehari, kena komited dan bagi 100 peratus termasuk ketika latihan.

"Saya mempunyai matlamat yang jelas dan mudah untuk saya menuju ke arah mana," katanya.

Pelumba berusia 33 tahun itu masih bersemangat untuk memburu emas pada temasya Paris 2024, penyertaan Sukan Olimpik kelima peribadi buatnya selepas penampilan sulung di Beijing 2008.

"Buat masa ini, saya masih dalam mood untuk berehat selepas lima tahun menyiapkan diri menghadapi Olimpik Tokyo. Jurulatih (John Beasley) masih buat post mortem (pasca nilai) dan akan buat perancangan untuk Paris 2024 bagi persiapan jangka masa tiga tahun," katanya yang menamatkan kuarantin wajib dua minggu di Kompleks Sukan Kampung Pandan, awal minggu ini.

Jaguh trek berasal dari Dungun, Terengganu itu menyatakan selepas pulang dari kampung, dia akan duduk berbincang dengan Beasley untuk merencana persiapan rapi menjelang Olimpik Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 11:54 PM