FOTO Instagram azizulhasniawang
FOTO Instagram azizulhasniawang
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Ikon sukan berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan jurulatihnya John Beasley tampil dalam slot sukan saluran berita 9 News Melbourne beberapa hari lalu.

Azizul, 33, berterima kasih kepada wartawan Tony Jones dan saluran sukan nombor satu Australia itu kerana memberi peluang kepadanya di temu ramah sekali gus memperkenalkan namanya dalam kalangan peminat sukan berbasikal di negara Down Under itu.

"Satu penghargaan untuk berkongsi perjalanan 15 tahun saya bersama jurulatih @johnbeasley54 kepada warga Australia. Terus menyokong kami bagi perjalanan ke Olimpik Paris 2024," tulisnya dalam hantaran terbaharu di laman sosial.

Dalam berita berdurasi 3 minit 15 saat yang bertajuk 'Favourite Son' itu, menceritakan kisah Azizul daripada seorang budak kecil yang hadir dari sebuah pekan kecil di Pantai Timur Semenanjung hingga menjadi pelumba keirin disegani termasuk muncul juara dunia.

Klip kemenangannya di garisan penamat pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong empat tahun lalu turut dipaparkan dalam berita pendek itu.

Selain itu, Azizul meraih pingat gangsa pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016, diikuti perak pada Tokyo 2020 dan mengimpikan untuk muncul atlet pertama negara meraih pingat emas pada temasya Paris 2024.

"Sesiapa saja yang memenangi pingat emas Olimpik, mereka akan menerima ganjaran RM1 juta yang mana lebih kurang AUS$300,000," kata Azizul ketika menjawab soalan wartawan.

Azizul juga menyatakan dia selesa berlatih di Melbourne sejak 2006 di bawah kendalian Beasley yang bukan hanya seorang jurulatih tetapi sudah dianggapnya sebagai bapa dan sebahagian daripada keluarganya.

"Saya suka tinggal di Melbourne kerana kurang tumpuan diberikan, jadi saya boleh fokus untuk berlatih sepenuh masa selain bersama keluarga," katanya.

Cuma satu yang kurang kena dalam temu ramah itu apabila Azizul menyatakan dia kini 'lebih Australia' manakala Beasley pula menyatakan 'separuh Malaysia'. Ada warganet yang menegur Azizul mengenai kenyataannya itu.

"Alamak... "in the inside I am more Australian", macam tak kena je Jijoe statement tu," tulis @mr_asrul.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 12:48 PM