Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri akan berusaha merealisasikan hajat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang mahu terus dibimbing jurulatih berbasikal negara, John Beasley.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sedia memberi komitmen untuk memastikan Beasley dapat terus membimbing pemenang pingat perak acara keirin pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo itu.

"Saya berikan komitmen bahawa sekiranya keputusan berbeza hendak dibuat oleh mana-mana pihak, Insya Allah, saya akan perjuangkan supaya Datuk Azizul dapat khidmat jurulatih terbaik seperti mana yang dikehendakinya.

"Sekiranya Datuk Azizul selesa dengan Beasley, kerajaan negeri akan berbincang dan meyakinkan Kementerian Belia dan Sukan supaya teruskan dengan jurulatih ini (Beasley) supaya hasrat kita untuk melihat emas tiga tahun lagi akan tercapai," katanya ditemui pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Kediaman Seri Iman di sini, hari ini.

Sementara itu, Azizulhasni juga memaklumkan yang beliau masih menagih dan memerlukan sentuhan jurulatih kelahiran Australia itu sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Katanya, persiapan ke Paris akan dimulakan secara intensif bermula tahun depan.

"Saya memang memerlukan bimbingan Beasley untuk persiapan ke Olimpik sebab sudah tak lama pun, tiga tahun lagi.

"Beasley memainkan peranan penting dalam karier saya sejak beliau mula membimbing skuad negara pada 2006. Tempoh tiga tahun sebelum temasya di Paris bukan tempoh yang lama untuk melakukan persediaan dan latihan," katanya.

BEASLEY dan Datuk Azizulhasni.
BEASLEY dan Datuk Azizulhasni.

Terdahulu, Beasley menyatakan kesediaan untuk terus kekal membimbing skuad negara ketika kontraknya bakal tamat pada hujung tahun ini.

Ketika ditanya sama ada beliau berhasrat mahu menubuhkan akademi atau pusat latihan di Terengganu sekiranya bersara, Azizulhasni menyifatkan ia sebagai idea yang baik dan akan berbincang dengan kerajaan negeri.

"Apabila sampai masa nanti, saya akan cuba membantu sebanyak mungkin, sumbangkan idea, tenaga kerana orang sudah banyak bantu saya dan sampai masa untuk kita balas balik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 7:17 PM