BEASLEY bersiap untuk meninggalkan pusat kuarantin di Kampung Pandan. FOTO Instagram John Beasley
BEASLEY bersiap untuk meninggalkan pusat kuarantin di Kampung Pandan. FOTO Instagram John Beasley
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Semua atlet dan pegawai yang menyertai temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 sudah boleh menarik nafas lega selepas menamatkan tempoh kuarantin wajib selama dua minggu.

Jurulatih berbasikal negara John Beasley memuat naik status terbaharu di laman Instagram @johnbeasley54 menggambarkan betapa gembiranya beliau memenuhi tempoh kuarantin yang diwajibkan ketika negara masih lagi dilanda penularan wabak Covid-19.

"Cukup dah ni, saya selesai menjalani kuarantin dua minggu, saya tak boleh berhenti tersenyum," tulisnya ringkas sambil menyertakan gambar barangan yang dikemaskannya termasuk beg besar serta sebuah basikal tersedia untuk dibawa keluar dari tempat penginapannya.

Beliau dan dua pelumba basikal Datuk Azizulhasni Awang serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom menjalani kuarantin di Kompleks Sukan Kampung Pandan.

Beasley, Azizul dan Shah Firdaus adalah kelompok terakhir atlet dan pegawai kontinjen negara selain penerjun Pandelela Rinong pulang dari temasya terulung dunia itu pada 9 Ogos lalu, sehari selepas Tokyo 2020 melabuhkan tirainya.

Disebabkan pandemik Covid-19, penganjur Tokyo 2020 mengarahkan setiap atlet yang menamatkan kempen mereka supaya meninggalkan Jepun dalam tempoh 48 jam menyebabkan atlet negara tidak dapat tinggal untuk menyokong rakan seperjuangan seperti kebiasaan.

Jadi ada atlet yang mengakhiri kempen lebih awal sudah menamatkan kuarantin mereka sejak minggu lalu. Sebahagian besar mereka ditempatkan di hotel di Kuala Lumpur.

Jurulatih dari Australia itu mengemudi kejayaan Azizul meraih pingat perak dalam acara keirin lelaki pada Tokyo 2020 selepas merangkul gangsa pada temasya terdahulu di Rio 2016. Selain perak disumbangkan Azizul, kontinjen negara mengutip satu gangsa menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Malaysia menghantar 30 atlet dalam sembilan jenis sukan di Tokyo 2020 - akuatik (renang dan terjun), badminton, berbasikal, gimnastik, golf, memanah, menembak, olahraga dan pelayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 2:56 PM