KETUA jurulatih berbasikal negara, John Beasley. FOTO File NSTP
KETUA jurulatih berbasikal negara, John Beasley. FOTO File NSTP
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley pasti berasa lega kerana akhirnya boleh bertemu keluarganya di Australia selepas hampir lima bulan berpisah disebabkan kempen Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beasley bersama pelumba Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta penolong jurulatih Harnizam Basri meninggalkan Melbourne pada 5 Jun lalu untuk memulakan persiapan terakhir di Malaysia menjelang temasya empat tahun sekali itu.

Namun selepas menjalani tiga sesi kuarantin bersamaan enam minggu, akhirnya jurulatih berusia 59 tahun itu 'bebas' semula menikmati kehidupan berkeluarga sekali gus bertemu isteri tercintanya Vicky.

"Hari pertama di rumah, baru keluar daripada kuarantin dua minggu di hotel, hari pertama bebas?" tulisnya dalam hantaran terbaharu di laman Instagram.

PEMANDANGAN di luar kediaman Beasley di Melbourne. FOTO Instagram johnbeasley54
PEMANDANGAN di luar kediaman Beasley di Melbourne. FOTO Instagram johnbeasley54

Beasley berkata, beliau tidak pasti sama ada akan merindui makanan dalam pek yang sering dijamahnya ketika menjalani kuarantin di hotel.

"Saya tidak kisah. Oleh kerana makanan ini enak, banyak pilihan buat saya tapi kini tiba masanya saya kembali menikmati makanan pilihan saya dengan menggunakan pinggan, pisau dan garfu yang sebenarnya. Saya boleh kembali menikmati sayur-sayuran kegemaran saya," katanya.

"Kembali bertemu keluarga dan sahabat handai, terlalu teruja rasanya.

"Beasley menganggap kuarantin di hotel yang dilaluinya bagaikan satu bebanan yang bagaimanapun perlu ditempuhi disebabkan penularan wabak Covid-19 di negara ini dan seluruh dunia.

"Saya berasakan 16 bulan terakhir hidup dalam sekatan berterusan, tiga tempoh kuarantin di hotel dan apabila anda diberi kebebasan sedikit, anda perlu mengamalkan gelembung kendiri untuk memastikan atlet berada dalam keadaan selamat jadi mereka boleh bertanding di Olimpik.

"Semalam Melbourne mula menjalani proses membuka semula terhadap warga yang sudah lengkap dua dos vaksin dan ia jelas hadir pada masa yang terlalu bagus," katanya yang terpaksa menjalani ujian PCR enam kali dalam tempoh 16 hari terakhir.

Beliau tidak bersama skuad negara ke Kejohanan Trek Dunia di Roubaix, Perancis sebaliknya memutuskan untuk pulang ke Melbourne kerana larangan negaranya Australia terhadap warga yang pergi ke Eropah ketika ini disebabkan Covid-19.

Beasley, yang melatih skuad berbasikal trek negara sejak 2006 di Melbourne, mengemudi kejayaan Azizul meraih pingat perak acara keirin lelaki di Olimpik Tokyo 2020, gangsa di Rio 2016 dan muncul juara dunia di Hong Kong pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 1:53 PM