Datuk Seri Ahmad Ismail
Datuk Seri Ahmad Ismail
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail mengakui skuad sepak takraw negara perlu menyertai mana-mana kejohanan dalam waktu terdekat ini bagi mengukur sejauh mana prestasi mereka.

Dengan Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) juga tidak cukup untuk menilai prestasi sebenar barisan pemain negara, PSM akan mengambil inisiatif menganjurkan kejohanan terbuka dalam tempoh terdekat ini dengan kemungkinan turut menjemput pasukan dari luar negara untuk menyertainya.

"Jika ditanya kepada saya mengenai prestasi dan kemampuan pasukan sepak takraw negara, apa yang boleh dikatakan setakat ini tidak mengetahui tahap mereka kerana tidak menyertai sebarang pertandingan kompetitif sejak beberapa bulan lalu.

"Mereka (pemain) hanya menjalani latihan seperti biasa dan bagi saya tidak boleh mengukur tahap kemampuan mereka setakat ini.

"Oleh itu, PSM mengambil keputusan akan menganjurkan kejohanan terbuka yang menghimpunkan beberapa pasukan dengan empat atau lima daripadanya adalah daripada skuad kebangsaan," katanya.

Beliau berkata, kejohanan itu juga kemungkinan akan disertai pasukan luar negara sekali gus bakal memberi cabaran kepada skuad negara.

"PSM memang merancang untuk menjemput beberapa pasukan daripada luar negara menyertai kejohanan itu namun segalanya bergantung kepada kebenaran daripada pihak berkaitan," katanya.

Sementara itu, gandingan pemain muda dan senior dalam skuad sepak takraw yang akan ke Sukan Sea di Hanoi adalah keutamaan PSM supaya dapat mengimbangi kekuatan pasukan seterusnya mampu mencipta kejayaan besar.

Katanya, PSM mempunyai empat pelan membabitkan skuad sepak takraw negara untuk ke Sukan Sea dengan rata-rata pemain sudah dipilih awal supaya persiapan dapat dilaksanakan lebih sistematik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 9:03 PM