Singapura: Walaupun banyak pihak mempertikaikan kejayaan skuad sepak takraw negara memenangi emas antara regu, ia sama sekali tidak menjejaskan kegembiraan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang menamatkan kemarau 10 tahun dalam acara berkenaan.

Kejayaan gandingan Mohammad Syahir Mohd Rosdi (Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi), Farhan Adam dan Mohd Hanafiah Dolah itu dilabel ‘musuh’ PSM sebagai tidak sah kerana Thailand tidak mengambil bahagian.

Begitupun, Presiden PSM Datuk Ahmad Ismail (gambar) bingkas mempertahankan anak buahnya dengan berkata, tidak ada sebab mengapa kejayaan itu tidak boleh diiktiraf semua pihak.

“Ketiadaan Thailand bukan masalahnya dan kita tidak pernah menghalang mana-mana negara untuk mengambil bahagian.

“Apapun, saya berbangga dengan kejayaan ini dan kami berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan. Kami dipertanggungjawabkan untuk membawa pulang satu emas tetapi kami pulang dengan satu emas, dua perak dan dua gangsa.

“Peratusan pencapaian kami ialah 83.33 peratus dan ia boleh dianggap sebagai satu kejayaan. Kami harap apa yang dimenangi sepak takraw ini dapat membantu sasaran kontinjen yang mahukan 56 peratus atau kira-kira 188 pingat di Sukan SEA ini,” katanya.

Secara keseluruhan, Ahmad berbangga dengan kemampuan pemain yang rata-ratanya masih muda dan beliau percaya anak buahnya itu boleh pergi lebih jauh dengan syarat mereka tidak terpengaruh dengan anasir luar yang mahu melihat kejatuhan sepak takraw.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 1:03 PM