Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih pasukan sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun tidak akan pilih bulu dalam soal pemilihan pemain yang akan menyarung jersi kebangsaan ke Sukan Sea Kemboja Mei depan.

Sebaliknya, pemenang pingat emas Sukan Asia Hiroshima 1994 itu berkata, dia dan barisan kejurulatihan akan memberi peluang sama rata kepada semua pemain yang menampilkan aksi yang hebat dalam beberapa kejohanan tahun lalu untuk merebut tempat dalam pasukan kebangsaan.

"Pemain sedia ada ketika ini adalah seramai 18-19 orang dicampur dengan pemain yang kita pantau dan ada potensi semasa Sukma (Sukan Malaysia), Piala Tun Ali dan Piala Emas Khir Johari. Jadi kesemua yang akan dipanggil nanti ada 37 pemain.

"Jadi dari 37 pemain ini nanti kita senarai pendek kepada 25 berdasarkan tahap kecergasan dan kemahiran mereka sebelum dikurangkan kepada 18 yang kita akan bawa ke Sukan Sea Kemboja.

"Bagi saya, tiada soal pilih bulu dalam memilih pemain ke skuad kebangsaan. Siapa yang terbaik merekalah yang akan menggalas cabaran negara," katanya.

Untuk rekod, pada temasya Sukan Kemboja, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menyasarkan dua pingat emas dalam acara double sepak takraw dan chinlone.

Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, selain dua emas, PSM turut menyasarkan tiga perak dan satu gangsa bagi acara sepak takraw manakala bagi chinlone satu perak dan empat gangsa.

Dalam pada itu Ahmad Jais memberitahu, dia bersedia untuk bekerja sama dengan mana-mana pihak dalam meningkatkan lagi prestasi sukan tradisi negara yang kini berada di tahap kurang memuaskan jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 1:59 PM