MURRAY hanya muncul naib juara di Cabaran Biella di Itali. FOTO Agensi
MURRAY hanya muncul naib juara di Cabaran Biella di Itali. FOTO Agensi
AFP

Rome: Bekas pemain nombor satu dunia, Andy Murray yang terlepas aksi Terbuka Australia selepas diuji positif Covid-19, tumpas dalam perlawanan akhir Cabaran Biella di Itali.

Pemain kelahiran Scotland yang sekarang ini menduduki ranking ke-125 dunia, tumpas 2-6, 4-6, kepada pemain Ukraine berusia 33 tahun, Illya Marchenko.

Kejohanan dalam dewan di kaki pergunungan Alps di Itali itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan €45,000 (RM220,000) berbanding AS$2.1 juta (RM8.4 juta) kepada juara di Melbourne Park, iaitu 16,000 kilometer dari tempat Murray beraksi.

Pemain berusia 33 tahun itu yang juga juara Grand Slam (Terbuka Amerika Syarikat 2012, Wimbledon 2013 dan 2016) memenangi empat perlawanan sebelum mara ke final.

Murray berdepan lawan yang pernah dikalahkan di Terbuka Australia 2011 dan 2017, namun gagal untuk mematahkan servis walau sekali pun dalam aksi selama satu jam setengah itu.

Dia yang hanya beraksi tujuh perlawanan pada tahun lalu bergelut dengan kecederaan pelvik dan dalam usaha untuk membina semula kariernya selepas menjalani pembedahan pinggul.

Murray yang mendapatkan tiket 'wildcard' di Terbuka Australia berang terlepas kejohanan itu dan percaya dia dijangkiti Covid-19 di National Tennis Centre, London, di mana kebanyakan pemain tenis elit berlatih ketika pandemik berkenaan.

Dia berkata, kurang sihat dan virus berkenaan turut menjangkiti isterinya, Kim serta tiga orang anak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 12:54 PM