MURRAY terpaksa berehat lama akibat kecederaan sejak tahun lalu. FOTO AFP
MURRAY terpaksa berehat lama akibat kecederaan sejak tahun lalu. FOTO AFP
AFP

ANDY Murray mengakui dia berada dalam landasan terbaik untuk kembali selepas kecederaan panjang walaupun tumpas kepada Dan Evans di separuh akhir 'Battle of the Brits' semalam.

Murray tumpas 1-6, 6-3, 10/8 dalam perlawanan pertunjukkan yang diadakan secara tertutup di Roehampton.

Ia adalah aksi keempat bekas pemain nombor satu dunia itu dalam tempoh lima hari di kejohanan pertamanya sejak November lalu selepas mengalami kecederaan tulang pelvis.

Murray yang juga juara dua kali Wimbledon, juga memerlukan pembedahan pinggul tahun lalu, yakin dia berada di laluan untuk kembali pada prestasi terbaik.

"Saya fikir sudah memulakan perlawanan dengan baik dan seperti semua aksi saya minggu ini, tahap permainan saya sedikit menurun.

"Saya sudah mendapat rentak permainan, hanya perlu lebih masa untuk berlatih dan bersedia, jadi saya akan memperoleh semula apa yang saya mahu.

"Ia satu permulaan penting minggu ini berdasarkan apa yang saya lakukan dan saya berjaya mengawal tahap fizikal dengan baik.

"Permainan saya minggu ini menaikkan semangat saya, saya hanya tidak dapat bertahan lebih lama dalam perlawanan," kata Murray.

Murray mungkin tidak akan beraksi lagi sehingga Jelajah ATP bersambung semula di Wanshington 14 Ogos depan.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Scotland itu bercadang untuk tidak menyertai Masters Cincinnati, yang dipindahkan ke New York tahun ini disebabkan pandemik Covid-19.

Dia tidak mahu mengambil sebarang risiko kecederaannya kembali berulang menjelang saingan Terbuka Amerika Syarikat.

"Ia sangat hampir dengan kejohanan Grand Slam dan saya tidak suka mengambil risiko atau sesuatu yang menghalang saya daripada beraksi di New York.

"Saya sanggup bermain di Washington dan terlepas kejohanan sebelum Terbuka Amerika Syarikat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 10:39 AM