PACQUIAO (kanan) mahu bertemu McGregor. FOTO Agensi
PACQUIAO (kanan) mahu bertemu McGregor. FOTO Agensi
Agensi

London: Manny Pacquiao sudah menyatakan keterbukaannya untuk bertemu dengan legenda UFC, Conor McGregor.

McGregor, 32, kembali ke Oktagon untuk bertemu Dustin Poirier pada 23 Januari selepas setahun tidak beraksi.

Bagaimanapun usaha sedang dilakukan untuk Notorious kembali ke gelanggang tinju buat kali kedua sepanjang kariernya untuk bertemu Pacquiao, 42.

Pacquiao mengesahkan berhubung perbincangan itu sambil menegaskan dia lebih berminat bertemu McGregor berbanding Errol Spence.

Memetik laporan Business Mirror, dia berkata: "Dia (Spence) sangat perlahan. Spence jauh lebih perlahan berbanding Thurman.

"Mereka (Spence dan McGregor) adalah pilihan saya, tetapi setakat ini saya mahu beraksi dengan petarung MMA."

Pengurus, Audi Attar yang mewakili kedua-dua bintang itu yakin mereka akan bertemu di gelanggang pada tahun ini.

Attar memberitahu Dubai Eye 103.8 Sport: "Saya sangat percaya ia akan berlaku pada 2021. Kedua-dua petarung mahukannya dan ini adalah perkara utama.

"Jika seorang mahu beraksi manakala seorang lagi tidak mahu, maka ia tidak akan berlaku. Tetapi apabila kedua-duanya mahukan perlawanan ini menjadi kenyataan, apa alasan ia tidak akan berlaku?

"Jika penyokong juga mahukannya, hampir pasti perlawanan ini akan menjadi kenyataan."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 12:51 PM