MCGREGOR pernah dijemput ke Stadium AT&T pada 2018. FOTO Agensi
MCGREGOR pernah dijemput ke Stadium AT&T pada 2018. FOTO Agensi
Agensi

Dublin: Conor McGregor akan kembali beraksi di UFC bertemu Dustin Poirier pada 23 Januari tahun depan.

Bintang sukan tempur campuran Ireland itu mendedahkan dia mahu perlawanan itu berlangsung di venue pasukan Dallas Cowboys iaitu di Stadium AT&T yang mampu menampung 105,000 penonton.

The Notorious juga mengumumkan dia mahu bertemu Manny Pacquiao dalam usahanya untuk kembali ke gelanggang tinju.

Bagaimanapun tidak pasti sama ada pertemuan semula dengan Khabib Nurmagomedov pada tahun depan berada dalam perancangannya.

Menerusi akaun Twitter miliknya, McGregor berkata: "Saya terima, 23 Januari. Saya mahu perlawanan itu dilangsungkan di Stadium Cowboy.

"Jerry Jones (pemilik Dallas Cowboys) adalah rakan saya dan stadium itu mampu menampung jumlah penyokong kami.

"Saya bersedia untuk Texas dan Texas juga akan melakukan persediaan untuk penyokong saya. Kemudian bertemu Manny (Manny Pacquiao)."

Poirier yang berasal dari Louisiana kemudian membalas: "Dekat dengan rumah saya dan ia berlangsung pada minggu hari lahir saya."

Poirier kemudian meminta kepastian McGregor kategori berat yang akan disertai oleh kedua-dua mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 1:21 PM