PERTARUNGAN Pacquaio dan McGregor  tak dapat dielakkan.
PERTARUNGAN Pacquaio dan McGregor tak dapat dielakkan.
Agensi

London: Pertarungan Conor McGregor dan Manny Pacquiao pada 2021 tampak tidak dapat dielakkan dengan jaguh Ireland itu sedia berdepan legenda Filipina selepas menentang Dustin Poirier, menurut pengurus kedua-dua bintang itu.

McGregor akan kembali beraksi pada 23 Januari dalam pertarungan ulangan dengan Poirier yang ditewaskannya pada 2014.

Tetapi sebelum dia kembali ke UFC, McGregor memberi bayangan sedia menentang Pacquiao dengan pengurus, Audi Attar yang mewakili kedua-duanya yakin mereka akan bertarung dalam gelanggang tahun ini.

Attar berkata kepada Dubai Eye 103.8 Sport: "Saya yakin ia tidak dapat dielakkan pada 2021.

"Kedua-dua jaguh ini mahukannya, itu kunci utama.

"Jika satu pihak mahu dan satu lagi tidak, ia tidak akan berlaku tetapi apabila kedua-duanya mahukan pertarungan, mengapa ia tidak boleh berlaku?''

"Jika penyokong mahu menyaksikannya, ia dijamin akan berlaku kerana ada minat mendalam di situ.''

McGregor, 32, mengumumkan melalui Twitter pada September lalu yang dia akan menentang Pacquiao, 42, pada pertarungan seterusnya.

Tetapi selepas UFC menggesa dia kembali ke oktagon dan bertarung kali kedua dengan Poirier, 31, dia mengalih perhatian kepada MMA sekali lagi.

Sekarang, McGregor berhasrat berunding kembali dengan juara lapan divisyen, PacMan selepas 'urusannya' di Fight Island tamat.

Sementara itu bekas juara 'light heavyweight' Evander Holyfield percaya McGregor mempunyai peluang menewaskan Pacquiao di gelanggang tinju.

"Dia mempunyai lengan lebih panjang, jadi dia memiliki kelebihan. McGregor perlu mengasak Pacquiao dan melepaskan tumbukan terus tetapi agak sukar. Anda bercakap mengenai pertarungan dengan seseorang yang bertinju keseluruhan hidupnya."

Walaupun percaya McGregor mampu menewaskan Pacquiao, Holyfield, 58, akui The Notorious berdepan tugas sukar untuk menjadi lebih baik berbanding bekas juara dunia lapan kategori itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 11:23 PM