GELAGAT  Pacquiao ketika sidang akhbar di Wild Card Boxing Club di  Los Angeles. FOTO AFP
GELAGAT Pacquiao ketika sidang akhbar di Wild Card Boxing Club di Los Angeles. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Bekas juara dunia, Manny Pacquiao berkata dia berasa kembali muda selepas berehat dua tahun ketika bersiap sedia menentang juara tak pernah kalah Errol Spence.

Jaguh Filipina berusia 42 tahun itu yang juga juara dunia enam divisyen akan berdepan bintang Amerika Syarikat (AS), Spence pada 21 Ogos di Las Vegas bagi merebut gelaran Persekutuan Tinju Antarabangsa dan Majlis Tinju Dunia.

"Saya boleh sahaja menentang petinju lebih mudah," kata Pacquiao hari ini. "Tetapi saya memilih lawan terbaik bagi menambahkan lagi legasi dan pencapaian saya. Saya perlu buktikan misi saya belum tamat.''

Manny, dengan rekod 62-7, dua seri dan 39 KO kali terakhir bertarung pada Julai 2019 selepas menewaskan petinju AS, Keith Thurman tetapi senator Filipina itu dilucutkan gelaran pada Januari lalu susulan tidak aktif.

"Sudah dua tahun saya tidak aktif di gelanggang dan ia baik untuk saya berehat,'' katanya. "Tempoh itu banyak membantu badan dan minda saya. Kali ini saya benar-benar gembira dan berasakan seperti muda kembali.

"Berada di sini sekarang dan menentang yang terbaik, ia seperti hadiah buat saya."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 11:04 AM