PEMAIN negara, Meor Muhamad Azuan Hasan (kiri) bersaing dengan pemain Korea, Lee Nam Yong. FOTO REUTERS
PEMAIN negara, Meor Muhamad Azuan Hasan (kiri) bersaing dengan pemain Korea, Lee Nam Yong. FOTO REUTERS
Syafiq Aznan


Hangzhou: Perebutan bagi gelaran juara Kumpulan B kian sengit selepas Malaysia tewas tipis 3-4 di tangan Korea Selatan pada aksi keempat Sukan Asia 2022 di Stadium Gongshu Canal Sport Park, sebentar tadi.

Tiga pasukan ketika ini berkongsi sembilan mata iaitu Malaysia, Korea Selatan dan China namun skuad 'Malaysian Tigers' masih mendahului buat masa ini susulan perbezaan jaringan yang besar berbanding dua pencabar lain.

Namun, China berpeluang mendahului Kumpulan B sekiranya mereka berjaya menewaskan Thailand, malam ini.

Korea Selatan sebelum ini dikejutkan dengan kekalahan 2-3 di tangan China perlu meraih kemenangan bagi memastikan mereka kembali ke landasan bagi memburu slot ke separuh akhir.

Kubu Korea Selatan 'roboh' seawal minit kelima menerusi gol padang Mohamad Ashran Hamsani sebelum Korea Selatan mengikat kedudukan menerusi pukulan penalti Jang Jonghyun (m11).

Aksi sengit diperagakan kedua-dua pasukan yang terus mengasak dan Malaysia berjaya mendahului di hujung suku kedua hasil jaringan Faizal Saari yang bermula daripada pukulan sudut penalti.

Suku ketiga lebih rancak apabila Korea Selatan mengikat kedudukan hasil gol padang Lee Nam Yong di awal suku kedua sebelum Malaysia sekali lagi memimpin perlawanan selepas Razie menyudahkan pukulan penalti pada minit ke-44.

Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Jonghyun menghukum Malaysia menerusi pukulan sudut penalti untuk kedua-dua pasukan terikat 3-3 ketika aksi berbaki 15 minit.

Malaysia terlepas peluang meledak gol keempat apabila pukulan penalti Razie diselamatkan Kim Jaehyeon dan Korea Selatan mendapatkan gol kemenangan mereka pada minit ke-55 menerusi pukulan penalti Yang Jihun.

Selepas ini, Malaysia akan berdepan tuan rumah, China yang dijangka menjadi satu lagi aksi perebutan juara Kumpulan B sementara Korea Selatan menentang Oman, Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 3:54 PM