AKSI pemain hoki negara (jersi kuning) yang kecundang 0-3 kepada Korea Selatan, malam ini. FOTO ihsan FB Hokita
AKSI pemain hoki negara (jersi kuning) yang kecundang 0-3 kepada Korea Selatan, malam ini. FOTO ihsan FB Hokita
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Permulaan cemerlang diharapkan skuad hoki negara di Piala Sultan Azlan Shah 2022 tidak menjadi kenyataan apabila tumpas 0-3 kepada Korea Selatan, malam ini.

Dalam saingan dijalankan secara round robin di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh itu menyaksikan anak buah A Arul Selvaraj gagal mengekang pukulan sudut penalti sempurna Korea Selatan.

Pemain berpengalaman Korea Selatan yang juga pakar pukulan sudut penalti, Jang Jonghyun meledak dua gol dalam perlawanan berkenaan.

Mereka yang dibimbing Shin Seok Kyo tidak menunggu lama untuk berada di depan selepas Jonghyun membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti disempurnakannya pada minit ke-10.

Pasukan negara melepaskan dua peluang terbaik melalui pukulan sudut penalti pada hujung aksi suku kedua selepas pertahanan Razie Rahim gagal menyempurnakan tugas yang diberi.

Sebaliknya, Kim Hyeonhong meletakkan Korea Selatan semakin selesa di depan selepas turut menyudahkan pukulan sudut penalti yang diperoleh pada minit ke-30, sekali gus menambah gol kedua buat pasukan itu.

Berselang tiga minit kemudian, Korea Selatan yang juga juara Piala Asia 2022 semakin mengganas apabila menambah gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Jonghyun, sekali gus memastikan tiga mata buat pasukan itu.

Skuad negara yang gagal menyempurnakan pukulan sudut penalti akan turun menentang Pakistan untuk perlawanan kedua, malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 10:08 PM