Pemain THT, Fitri Saari (dua kanan) diasak pemain UITM HA-KPT, Muhamad Faisal Fakhri Azmi (kanan). FOTO Ghazali Kori
Pemain THT, Fitri Saari (dua kanan) diasak pemain UITM HA-KPT, Muhamad Faisal Fakhri Azmi (kanan). FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pasukan Hoki Terengganu (THT) mengukuhkan cengkaman di persada Liga Hoki Malaysia (MHL) selepas membelasah pasukan UiTM HA, 10-0 di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, THT gah mengutip 34 mata hasil 12 perlawanan manakala UiTM HA kekal di tangga kelima dengan 15 mata.

Pesta jaringan juara bertahan itu bermula dengan gol pertama menerusi pakar pukulan sudut penalti Korea Selatan, Jan Jonghyun pada minit kelapan hasill umpanan kapten kebangsaan, Muhamad Marhan Mohd Jalil.

Sebelum berakhir suku pertama, bekas pemain kebangsaan, Ismail Abu tidak melepaskan peluang untuk mencetak namanya sebagai penjaring gol kedua apabila memanfaatkan peluang hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-13.

Pada suku kedua, Jonghyun sekali lagi bertindak cemerlang apabila menyumbat gol ketiga pasukan dan kedua peribadinya pada minit ke-25 menerusi pukulan sudut penalti untuk pasukannya mendahului 3-0.

Nafsu untuk menjaringkan gol pemain skuad kendalian jurulatih kelahiran Korea Selatan, Seo Jongho bagaikan sukar disekat apabila berjaya menambah jaringan keempat menerusi gol padang sekali lagi menerusi Ismail yang mudah menyambung hantaran Faizal Saari pada minit ke-28.

Sepanjang aksi separuh masa pertama, skuad pelawat kendalian Mohd Nor Aqmal Abdul Gaffar hanya memperoleh dua peluang terhidang, namun digagalkan kekebalan benteng tuan rumah yang diketuai Jonghyun.

Memasuki suku ketiga, penyerang muda kebangsaan, Mohammad Akhimullah Anuar Esook berjaya mencetak namanya sebagai penjaring apabila mudah memperdaya penjaga gol pelawat, Andrian Andy Albert untuk pasukannya di depan dengan lima jaringan pada minit ke-32.

Pesta jaringan skuad The Turtles tidak terhenti di situ apabila Jonghyun mencipta hatrik selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-44 selepas menerima hantaran daripada Muhamad Marhan.

Pada minit ke-50, Jonghyun membuktikan dia layak bergelar pakar pukulan sudut penalti apabila menambah jaringan ketujuh pasukannya menerusi situasi itu.

Penyerang kebangsaan, Faizal Saari, berjaya menambah jaringan kelapan dan kesembilan pasukannya pada minit ke-50 dan 57.

Ketika perlawanan berbaki seminit untuk ditamatkan, Mohamad Akhimullah menambah derita pelawat apabila meledak gol ke-10 pasukannya untuk keputusan muktamad 10-0 memihak kepada THT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 7:51 PM