PEMAIN negara, Nik Rozemi Nik Muhammad Aiman cuba melepasi pemain Korea. FOTO REUTERS
PEMAIN negara, Nik Rozemi Nik Muhammad Aiman cuba melepasi pemain Korea. FOTO REUTERS
Syafiq Aznan


Hangzhou: Kurang peka terhadap sekeliling padang disifatkan menjadi punca skuad hoki lelaki negara tumbang 3-4 di tangan Korea Selatan pada aksi keempat Kumpulan B di Stadium Gongshu Canal Sport Park, sebentar tadi.

Anak buah Arul Selvaraj itu mendahului permainan sebanyak tiga kali pada perlawanan terbabit namun terpaksa 'melopong' apabila Korea Selatan menyempurnakan pukulan penalti mereka pada minit ke-55 untuk gol kemenangan lawan.

Keputusan ini menyaksikan perebutan bagi juara Kumpulan B bertambah rancak memandangkan tiga pasukan memiliki sembilan mata ketika ini iaitu Malaysia, Korea Selatan dan China dengan China ada satu perlawanan dalam tangan.

"Ada beberapa kesilapan mudah yang dilakukan seperti dari segi konsentrasi dan apa yang saya nak ingatkan kepada pemain adalah kepekaan di sekeliling padang. Ini kelemahan kita kerana kepekaan kita agak lembab.

"Kalau kita bermain dengan kepekaan yang tinggi, pergerakan bola memang bagus tetapi hari ini (semalam), lembab sedikit kerana kita kurang peka di atas padang," kata Arul.

Ketika diminta mengulas mengenai kegagalan Razie Rahim menyempurnakan pukulan penalti pada suku keempat sekali gus Malaysia terlepas peluang mendapatkan gol keempat, Arul menegaskan dia tidak menyalahkan mana-mana pemain jika gagal meraih keputusan positif.

"Ia boleh berlaku (pukulan penalti tidak menjadi) dan dia pun sudah menjaringkan gol buat kita dalam perlawanan ini. Jadi tolong jangan katakan bahawa (kekalahan) ini kerana Razie.

"Saya tidak pernah menyalahkan mana-mana pemain. Kita menang sebagai satu pasukan, kita kalah pun sebagai satu pasukan," katanya.

Sementara itu, Razie mengakui kecewa selepas tidak berjaya menyempurnakan pukulan penalti yang mampu menghadiahkan gol keempat buat negara namun dia bertekad untuk bangkit pada aksi seterusnya berdepan China.

"Saya ambil tanggungjawab kerana tidak dapat jaringkan pukulan penalti terakhir itu dan atas keputusan hari ini (semalam). Saya berharap kita akan bangkit dan buat yang terbaik untuk aksi terakhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 4:04 PM