PASUKAN SSBJ Thunderbolts meraikan kemenangan selepas dinobatkan juara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.  FOTO Aswadi Alias
PASUKAN SSBJ Thunderbolts meraikan kemenangan selepas dinobatkan juara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. FOTO Aswadi Alias
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Misi SSBJ Thunderbolts untuk merangkul dua trofi kejuaraan tahun ini tercapai apabila mereka muncul juara Piala TNB selepas menewaskan SMKDBL PHJ-MSNJ 4-2 menerusi penalti shoot-out selepas terikat 2-2 pada final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Ia kejayaan berganda buat SSBJ Thunderbolts yang sebelum ini berjaya menjuarai saingan Divisyen Satu Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2022. Jurulatih pasukan, Lokman Yahya mengucapkan terima kasih kepada barisan pemainnya kerana dapat bermain dengan baik untuk mengekang serangan bertali arus pihak lawan.

"Alhamdulillah pasukan berjaya mencapai sasaran untuk mendapatkan dua piala tahun ini. Usaha keras yang berbaloi.

"Terima kasih kepada semua pemain kerana bermain dengan baik dan mengikut perancangan biarpun pasukan lawan juga bermain dengan sangat bagus.

"Tahniah juga kepada penjaga gol kerana dia berjaya menyelamat dua shoot-out. Namun apabila perlawanan dibawa hingga ke penalti shout-out, siapa yang terbaik dan kurang melakukan kesilapan atau kesalahan merekalah yang akan menang," katanya.

Skuad bimbingan Lokman itu menerima tentangan hebat daripada SMKDBL yang dikendalikan oleh Mohd Nor Aqmal Abdul Gaffar apabila bangkit menyamakan kedudukan sebanyak dua kali sepanjang 60 minit aksi final itu. Kegagalan dua pemain SMKDBL iaitu Muhammad Nazrim Muslim dan Muhammad Zamirul Hisham Romizambry menyudahkan penalti shoot-out membolehkan SSBJ Thunderbolts bergelar juara selepas menyempurnakan empat daripada lima percubaan dalam penentuan itu.

Tempat ketiga Piala TNB menjadi milik AHP-SSP-MSP Thunderbolts selepas menewaskan SSTMI Thundebolts 3-2 pada penentuan tempat ketiga dan keempat.

Sementara itu, SSTMI-PKS Uniten muncul juara kategori wanita selepas menewaskan MBPJ Black Widow 2-1, manakala Wipers KLSS meraih tempat ketiga menerusi kemenangan 2-1 ke atas SSNP-MSP-PKS Uniten.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 11:48 AM