HANIS miliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa.
HANIS miliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kehadiran semula penyerang utama, Hanis Nadiah Onn nyata memberi kelegaan kepada pengendali skuad hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menjelang saingan Piala Asia yang akan berlangsung di Muscat, Oman bermula 21 hingga 28Januari ini.

Jelas Nasihin, barisan pemain senior termasuk Hanis sememangnya diperlukan untuk menggalas tugas di Oman kerana skuad negara ketika ini dibarisi rata-ratanya pemain kurang berpengalaman, malah tidak pernah membuat penampilan di pentas antarabangsa.

"Dengan kehadiran Hanis yang baru pulih daripada kecederaan, saya rasa kami mempunyai barisan terbaik setakat ini. Gabungan pemain senior dan remaja diharap mampu memberi cabaran di Piala Asia.

"Kami tidak mahu memberi tekanan kepada mereka kerana kebanyakan pemain negara bakal beraksi kali pertama di pentas antarabangsa," katanya.

Nasihin bagaimanapun menegaskan Hanis tidak akan mendapat keistimewaan, sebaliknya prestasinya juga akan dinilai ketika di sesi latihan serta perlawanan persahabatan yang diatur sebelum skuad negara berlepas ke Oman.

"Walaupun saya beritahu pemain senior amat penting, kami juga perlu melihat kepada prestasi semasanya. Skuad negara mempunyai 11 aksi perlawanan persahabatan sebelum bertolak ke Oman.

"Penilaian yang dilakukan terhadap Hanis adalah untuk berlaku adil kepada barisan pemain lain yang sudah berusaha untuk bersama skuad kebangsaan sebelum ini," katanya.

Hanis yang pernah melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai Pemain Harapan Terbaik Asia 2016, sebelum ini mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) ketika mewakili UniKL Ladies pada final Piala Vivian May Soars, April tahun lalu.

Ia sekali gus memaksa pemain berusia 25 tahun itu berehat panjang dan kini sudah kembali bersama skuad negara bagi menghadapi beberapa siri perlawanan persahabatan.

Pada saingan itu, skuad negara berdepan tugas getir apabila diundi dalam Kumpulan A bersama-sama juara bertahan, India dan pemenang Trofi Juara-Juara Asia, Jepun selain negara jiran, Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 10:36 PM