PEMAIN Harimau Malaya bakal mengharungi perlawanan persahabatan sebelum bertemu Oman. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
PEMAIN Harimau Malaya bakal mengharungi perlawanan persahabatan sebelum bertemu Oman. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tempoh berehat lebih dua bulan boleh menyebabkan skuad Harimau Malaya kemungkinan lemau atau kurang bermaya sebelum turun beraksi dalam saingan Kumpulan D kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 22 Mac depan.

Situasi terbabit jelas sekali membimbangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila berkira-kira mahu mengatur sekurang-kurangnya satu perlawanan persahabatan bagi memastikan skuad Harimau Malaya bangkit daripada tidur.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, skuad kendalian Kim Pan-gon kemungkinan akan mengharungi perlawanan persahabatan sebelum bertemu Oman.

Beliau berkata, perlawanan terbabit penting bagi memastikan pasukan yang berada di ranking 132 dunia itu berada pada tahap terbaik dan optimum seterusnya mampu mencipta kejayaan positif.

"Kita akan melihat kepada kesesuaian pasukan dan skuad Kim Pan-gon akan beraksi untuk beberapa perlawanan persahabatan.

"Perlawanan terbabit cukup penting kerana mahu barisan pemain bersedia sebelum berlepas ke Oman,"katanya.

Berdasarkan rekod, skuad Harimau Malaya terlebih dahulu akan berkunjung ke Muscat, Oman pada 22 Mac ini sebelum melayan kunjungan skuad Red Demons di Kuala Lumpur, empat hari kemudian.

Keputusan dalam dua aksi berdepan pasukan ranking 74 dunia itu bakal mempengaruhi peluang buat Harimau Malaya menempah tiket awal ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Juara dan naib juara kumpulan akan meraih slot ke Piala Asia 2027 dan melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Ketika ini skuad kebangsaan mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan dalam dua aksi awal sebelum ini meletakkan skuad negara pada landasan terbaik untuk sekali lagi layak ke pusingan akhir Piala Asia.

Harimau Malaya memimpin Kumpulan D, mendahului dua pasukan ranking lebih tinggi, Oman (74) dan dan Kyrgyzstan (98) yang berkongsi tiga mata, manakala Taiwan (154) di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 1:13 PM