GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


KERAJAAN Johor berhasrat memperluaskan lagi sukan elektronik dengan mewujudkan arena eSports di setiap daerah di negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Warisan dan Budaya Negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menganjurkan satu lawatan bersama pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke Pantheon iaitu pusat eSport pertama di Malaysia yang terletak di pusat beli belah Toppen, di Johor Bahru.

Katanya, pusat eSports itu adalah model yang boleh diguna pakai bagi mewujudkan arena berkenaan di setiap daerah.

“Kita mahu pejabat daerah melihat apa yang perlu dilakukan bagi memastikan anak muda yang meminati eSports mendapat tempat yang lebih selesa bagi mengembangkan diri dalam sukan berkenaan.

“Saya dimaklumkan mereka yang berminat dengan eSports kebanyakannya membuat latihan di (pusat) hiburan keluarga. Sekarang kita hendak pastikan mereka yang berminat dengan sukan eSport ada tempat sempurna.

“eSports adalah sukan yang paling pesat berkembang ketika ini, jadi untuk memastikan pembabitan kita dalam sukan ini, perancangan awal perlu dibuat.

“Saya akan maklumkan pada pejabat daerah dan PBT untuk mewujudkan pusat permainan eSports di setiap daerah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Program E-Sports Johor: Road to Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di pusat beli belah Toppen, di Johor Bahru, hari ini.

Mohd Khuzzan berkata, pihaknya mensasarkan lima pingat emas sempena temasya Sukma Johor 2020.

“Buat pertama kali dalam sejarah Sukma, eSports akan dipertandingkan dan ia menawarkan lima pingat emas. Selaku tuan rumah, kita mensasarkan kutipan pingat maksimum,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 6:51 PM