VIRGIL van Dijk cuba menembusi pertahanan Atalanta namun gagal meledak gol. -FOTO AFP
VIRGIL van Dijk cuba menembusi pertahanan Atalanta namun gagal meledak gol. -FOTO AFP
AFP

London: Liverpool tersingkir daripada Liga Europa biarpun melakar kemenangan 1-0 ke atas Atalanta namun ia tidak mencukupi untuk memadamkan defisit yang dilakarkan di suku akhir pertama mereka, manakala keputusan seri 1-1 Bayer Leverkusen di West Ham membawa juara Jerman itu ke separuh akhir.

Pada musim terakhir Jurgen Klopp sebagai pengendali Liverpool, The Reds berharap dapat memberikan perpisahan manis kepada pengendali Jerman itu pada perlawanan akhir di Dublin.

Namun mereka tewas 0-3 dalam perlawanan suku akhir pertama kepada Atalanta di Anfield minggu lalu.

Biarpun Liverpool mempunyai sejarah hebat kebangkitan dalam dunia bola sepak Eropah sejak beberapa tahun kebelakangan ini menentang St Etienne, AC Milan dan Barcelona, namun tiada keajaiban yang berlaku kali ini.

Mohamed Salah menyempurnakan sepakan penalti minit ketujuh pada perlawanan kedua di Bergamo selepas hantaran lintang Trent Alexander-Arnold terkena lengan Matteo Ruggeri.

Bagaimanapun, anak buah Klopp tidak dapat menembusi pertahanan Atalanta selepas itu.

Ia adalah minggu yang memeritkan bagi Liverpool yang cabarannya untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris turut tercalar akibat kekalahan mengejut di tempat sendiri menentang Crystal Palace Ahad lalu.

"Ia emosi bercampur-baur. Kami gagal ke separuh akhir tetapi saya gembira dengan permainan ini," kata Klopp.

"Jelas kami meletakkan diri kami dalam kesukaran. Kami berharap kami boleh pergi ke Dublin tetapi itu tidak berlaku."

Sementara itu pasukan Gian Piero Gasperini akan menentang Marseille dalam separuh akhir Eropah pertama mereka sejak Piala Juara-Juara pada 1988.

Baru dinobatkan sebagai juara Bundesliga pertama hujung minggu lalu, Leverkusen terselamat daripada kejutan West Ham sebelum mara dengan agregat 3-1.

Pada separuh akhir, pasukan kendalian Xabi Alonso akan menentang Roma, yang menewaskan saingan Itali AC Milan dengan agregat 3-1.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 7:07 AM