KEPUTUSAN undian 16 akhir Liga Europa sebentar tadi. FOTO AFP
KEPUTUSAN undian 16 akhir Liga Europa sebentar tadi. FOTO AFP
AFP

Nyon: Juara tiga kali Liverpool diundi menentang Sparta Prague dalam pusingan 16 terakhir Liga Europa, manakala pendahulu Bundesliga yang belum tewas, Bayer Leverkusen akan berdepan Azeris Qarabag.

Liverpool kendalian Jurgen Klopp akan menjadi pilihan utama untuk mara ke suku akhir apabila mereka sedang berusaha menjulang empat trofi bagi musim terakhir pengendali Jerman itu sebelum meletak jawatan sebagai pengurus.

Pusingan pertama akan berlangsung di ibu negara Czech pada 7 Mac, dengan Anfield menjadi tuan rumah perlawanan timbal balik seminggu kemudian.

Leverkusen, yang dikendalikan Xabi Alonso, tidak tewas dalam 32 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini, dan sekali lagi akan menentang Qarabag, selepas pernah ditentang sebelum ini sebanyak dua kali di peringkat kumpulan.

Turut bertembung sekali lagi, West Ham dan Freiburg, selepas pasukan bimbingan David Moyes itu berjaya mencatat dua kemenangan menentang kelab Bundesliga itu dalam Kumpulan A.

"Ia agak tidak masuk akal bahawa anda boleh kembali menentang lawan yang sama daripada peringkat kumpulan pada pusingan 16 akhir," kata kapten Freiburg, Christian Guenter.

"Anda sudah boleh tahu bahawa sesetengah daripada kami kecewa."

Juara Eropah tujuh kali AC Milan meneruskan usaha mereka untuk memenangi kejuaraan sulung Liga Europa menentang Slavia Prague selepas kemenangan play-off pusingan kalah mati ke atas Rennes.

Pendahulu Liga Perdana Scotland, Rangers akan berdepan Benfica, manakala satu lagi kelab England, Brighton meneruskan pengembaraan Eropah pertama mereka bertemu naib juara musim lalu, Roma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 9:44 PM