KEJAYAAN mara ke final Liga Juara-Juara membangkitkan semangat Klopp (dua kiri) mencabar City pada hari terakhir liga malam esok. — FOTO EPA
KEJAYAAN mara ke final Liga Juara-Juara membangkitkan semangat Klopp (dua kiri) mencabar City pada hari terakhir liga malam esok. — FOTO EPA
AFP

JUERGEN Klopp menyatakan kebangkitan menakjubkan Liverpool di Eropah membuktikan pasukannya tidak akan berputus asa memenangi Liga Perdana Inggeris hinggalah Manchester City menjulang trofi malam esok.

Pasukan Klopp melakar kebangkitan terhebat dalam sejarah Liga Juara-Juara awal pagi Rabu lalu apabila membenam Barcelona 4-0 untuk mengatasi defisit 0-3 pada separuh akhir pertama.

Dengan final Liga Juara-Juara antara dua pasukan Inggeris menentang Tottenham pada 1 Jun ini, Liverpool boleh berhabis-habisan bagi usaha terakhir memenangi kejuaraan Inggeris pertama sejak 1990.

Reds hanya satu mata di belakang pendahulu Manchester City menjelang perlawanan terakhir musim menentang Wolves di Anfield.

CITY (jersi biru) dua kali mengalahkan Brighton musim ini. — FOTO Agensi
CITY (jersi biru) dua kali mengalahkan Brighton musim ini. — FOTO Agensi

City akan mengekalkan kejuaraan jika mereka menang di Brighton namun seri atau kalah buat anak buah Pep Guardiola akan membuka peluang buat Liverpool dinobat sebagai juara jika mereka mengalahkan Wolves.

Memandangkan kedudukan Brighton di tangga bawahan, City dijangka tidak berdepan masalah namun bos Liverpool, Klopp menyatakan drama menakjubkan Liga Juara-Juara minggu ini membuktikan apa saja boleh berlaku ketika tekanan memuncak.

Bukan saja Liverpool mencipta kebangkitan terhebat sepanjang zaman, Tottenham juga menjaringkan tiga gol pada separuh akhir menentang Ajax untuk layak menerusi kelebihan gol di tempat lawan selepas ketinggalan 0-3 secara agregat dengan berbaki 35 minit.

“Ia minggu dengan detik-detik besar dalam bola sepak. Tapi dari pandangan kami ia mungkin satu lagi detik besar bola sepak hujung minggu ini – minggu ini belum berakhir lagi,” kata Klopp.

“Saya fikir pada awal minggu ini ramai menjangkakan saya berada di sini dan berkata ‘OK, selepas tidak layak ke final Liga Juara-Juara, sukar untuk menjadi juara’. Tapi kini kami di final dan ia masih sukar.

“Kami tidak biasa dengan saat gemilang tapi kami menang dari masa ke semasa. Fokus bukan satu masalah. Hanya satu perkara kami boleh lakukan adalah memenangi perlawanan ini.”

Pada musim biasa, Liverpool, yang mengumpul 94 mata dan hanya tewas sekali dalam liga, mungkin sudah bergelar juara ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 9:54 AM