AKSI sengit perlawanan antara JDT dan Murcia. FOTO Johor Southern Tigers
AKSI sengit perlawanan antara JDT dan Murcia. FOTO Johor Southern Tigers
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) melaung amaran akan terus menguasai saingan Liga Super apabila membelasah pasukan Divisyen Dua Sepanyol, Real Murcia CF 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nueva Condomina, petang tadi.

Juara 10 kali Liga Super itu yang dalam rangka latihan pra musim di Sepanyol menurunkan beberapa pemain utama membabitkan Arif Aiman, Syihan Hszmi, Matthew Davies selain turut menguji tonggak import baharu untuk pasukan terbabit.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan ke kubu lawan bagi mencari gol pendahuluan.

Skuad Harimau Selatan tidak perlu lama untuk memecah kebuntuan gol apabila pemain kelahiran Syria, Jalil Elias menjaringkan gol pertama perlawanan.

Pemain lincah negara, Arif Aiman Hanapi menambah jaringan Harimau Selatan apabila meledak gol kedua pada minit ke-14.

Usaha gigih yang dilakukan anak didik Gustavo Munua tidak membuahkan hasil selepas kekebalan benteng pertahanan JDT yang diketuai Jordi Amat menghalang setiap percubaan.

Bersambung babak kedua, JDT berjaya merobek sekali lagi gawang Real Murcia menerusi pemain tengah mereka Chico Geraldes pada minit ke-72 perlawanan.

Keputusan 3-0 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan JDT berjaya membuka mata pasukan Eropah mengenai keupayaan sebenar kelab dari Malaysia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 9:40 PM