PEMAIN JDT meraikan jaringan di Stadium Perak. FOTO Johor Southern Tigers
PEMAIN JDT meraikan jaringan di Stadium Perak. FOTO Johor Southern Tigers
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak menghadapi masalah besar untuk membawa pulang bekalan selesa selepas menewaskan Perak FC 4-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak, sebentar tadi.

Skuad kendalian Esteban Solari dilihat begitu selesa mengawal bola dan bergerak bebas si segenap penjuru padang untuk mengatur serangan ke kubu lawan.

Namun pujian harus diberikan kepada pemain muda Perak FC apabila separuh masa kedua permainan mereka lebih baik dan meyakinkan serta berjaya mencipta beberapa gerakan berbahaya.

Dalam perlawanan itu, JDT tidak perlu menunggu lama untuk membuka jaringan apabila tandukan Oscar Arribas hasil hantaran Heberty Fernandes pada minit ke-7 gagal diselamatkan penjaga gol Perak, Farhan Majid untuk pasukan pelawat mendahului 1-0.

Seminit kemudian, Seo Seon-ung hampir menyamakan kedudukan namun tandukan pemain itu sedikit tersasar.

Ketika Bos Gaurus ghairah melancarkan serangan balas bagi mendapatkan gol penyamaan, Arif Aiman mengambil kesempatan menghukum barisan pertahanan untuk gol kedua di minit ke-12 hasil kesilapan Farhan Majid.

Tuan rumah cuba memperkemaskan permainan dan peluang terbaik hadir pada minit ke-28 tetapi rembatan deras Luka Milunovic terkena Syihan Hazmi untuk menafikan jaringan pertama dari Perak.

Di hujung separuh masa pertama, berlaku sedikit pergaduhan kecil antara Matthew Davies dan Luciano namun berjaya di kawal oleh pengadil perlawanan.

Bersambung babak kedua, Harimau Selatan hampir menambah jaringan ketiga namun jaringan Fernando Forestieri dibatalkan selepas dikesan dalam kedudukan ofsaid.

Percubaan Arif Aiman turut hampir mendapatkan jaringan apabila Farhan sudah tertewas namun palang gol menjadi penyelamat buat tuan rumah.

Jaringan ketiga akhirnya tiba apabila pemain gantian, Shahrul Saad meletakkan JDT selesa mendahului 3-0 pada minit ke-71.

Selang minit kemudian, tuan rumah akhirnya tersenyum seketika apabila Luciano mendapatkan jaringan pertama untuk menjadikan kedudukan 3-1 namun Harimau Selatan tidak perlu menunggu lama selepas seorang lagi pemain gentian, Nazmi Faiz memanfaatkan hantaran cantik dari Bergson da Silva di minit ke-80 untuk melengkapkan kemenangan bergaya JDT.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di separuh akhir kedua pada 2 November di Stadium Sultan Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 11:09 PM