ARIF Aiman meledak dua gol dalam aksi yang berlangsung di Phatum Thani. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
ARIF Aiman meledak dua gol dalam aksi yang berlangsung di Phatum Thani. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain muda sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi terus 'mendonia' di persada antarabangsa apabila dia disenaraikan sebaris pemain bintang di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Menerusi laman rasmi ACL meletakkan pemain lincah itu sebagai antara 11 pemain terbaik atau 'kesebelasan pilihan' bagi aksi kedua peringkat kumpulan saingan tertinggi kelab Asia itu.

Sudah pastinya, pengiktirafan kepada pemain berusia 21 tahun adalah berdasarkan kepada persembahan cemerlang ketika membantu Harimau Selatan membenam kelab Thailand, BG Pathum United 4-2, Selasa lalu.

Mengikut rekod, Arif Aiman yang juga Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia musim 2021 dan 2022 meledak dua gol dalam aksi yang berlangsung di Phatum Thani.

Selain meledak dua gol, Arif Aiman yang dianggap bintang masa depan turut mencipta dua peluang buat JDT dalam perlawanan itu serta melakukan tiga percubaan tepat.

Kemenangan ke atas BG Pathum United membolehkan JDT naik ke tangga kedua Kumpulan I, berkongsi tiga mata bersama pasukan tangga ketiga Ulsan Hyundai manakala Kawasaki Frontale di kedudukan tertas dengan mengumpul enam mata.

Skuad kendalian Esteban Solari seterusnya akan mengharungi aksi ketiga peringkat kumpulan berdepan Ulsan Hyundai di Stadium Bolasepak Ulsan Munsu, 24 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 1:39 PM