FIRDAUS  (dua kiri) pada majlis pelancaran bola rasmi  kejohanan kendalian FAM di Wisma FAM hari ini. FOTO Bernama
FIRDAUS (dua kiri) pada majlis pelancaran bola rasmi kejohanan kendalian FAM di Wisma FAM hari ini. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Anak buah Kim Pan-gon perlu bersiap sedia seandainya aksi menentang Taiwan dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Jun ini diadakan di luar Lembah Klang.

Menurut Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed, pihaknya mempunyai beberapa pelan tambahan sekiranya Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak dapat digunakan susulan penganjuran konsert yang akan berlangsung Mei ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM berkata, apa yang pasti pihaknya terlebih dahulu akan melihat keadaan SNBJ sebelum memutuskan gelanggang sebenar bagi aksi menentang Taiwan itu nanti.

"Kita akan pantau keadaan padang Stadium Nasional, sebab saya juga difahamkan ada satu konsert lagi akan diadakan di Stadium Nasional. Itu pun memberi kita satu tekanan juga sama ada kita nak menggunakan atau tidak Stadium Nasional.

"Namun, kita akan buat lawatan dan tengok keadaan padang dulu. Kita tiada kompromi, kalau padang boleh guna kita akan guna kerana keutamaan kita adalah pemain dan kita tak nak mereka cedera," katanya.

Firdaus berkata demikian pada sidang media majlis pelancaran bola rasmi Piala Presiden, Piala Belia, Liga Wanita Nasional dan Piala Tun Sharifah Rodziah 2024 di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Ujarnya lagi, Stadium Sultan Ibrahim di Johor Bahru dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu adalah dua opsyen yang boleh dipertimbangkan untuk menggantikan SNBJ.

"Kita ada dua pilihan yang kita nampak iaitu Stadium Sultan Ibrahim atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Sebelum ini pun kita sudah pernah gunakan stadium itu, bagi saya tiada masalah, yang penting pasukan menang," katanya.

Sementara itu, Firdaus mengucapkan terima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkenan menghadiahkan rumput hibrid bagi digunakan di SNBJ.

"FAM berlapang dada, kalau hari ini kita dapat rumput yang baik, kita terima, kita nak pastikan pemain bermain dalam keadaan selesa. Terima kasih Tunku Mahkota Ismail kerana menyumbang rumput untuk Stadium Nasional kerana kita memang mengharapkan kualiti padang terbaik".

Terdahulu, menerusi satu kenyataan di laman sosial Tunku Ismail, rumput jenis hibrid yang ditanam di Stadium Larkin akan didermakan ke SNBJ manakala rumput Zeon Zoysia sedia ada akan dipindahkan ke padang Majlis Sukan Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 6:06 PM