PAN Gon harap perlawanan aksi 16 November ini akan kekal berlangsung di Bukit Jalil. FOTO AIZUDDIN SAAD
PAN Gon harap perlawanan aksi 16 November ini akan kekal berlangsung di Bukit Jalil. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Di sebalik isu padang terkopak dan tercabut pada saingan Pestabola Merdeka bulan lalu, skuad Harimau Malaya tampaknya tetap akan menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai venue aksi pertama kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan pada 16 November ini.

Ia susulan lawatan dan tinjauan terkini yang dibuat pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon bersama barisan Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menyaksikan keadaan padang di SNBJ tampak lebik baik.

Menurut Pan-gon, walaupun tidak 100 peratus berada dalam keadaan sempurna namun baginya padang di gelanggang keramat Harimau Malaya itu tetap masih boleh dimainkan apabila berdepan lawan yang berada di ranking ke 97 dunia itu.

"Dari segi teknikal, keadaan padang di SNBJ pasti akan lebih baik menjelang tempoh dua minggu yang akan datang ini. Walaupun bukanlah 100 peratus, cukup untuk kita bermain di atas permukaan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

"Lagipun untuk aksi bertemu Kyrgyzstan ini hanyalah satu perlawanan, sebelum kami terbang ke Taiwan untuk perlawanan kedua pada 21 November.

"Jadi harapan saya, perlawanan 16 November ini akan kekal berlangsung di Bukit Jalil dan saya juga menyeru para penyokong Harimau Malaya dapat datang beramai-ramai memberikan sokongan kepada pasukan kita bagi memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri," katanya.

Sebelum ini, isu padang SNBJ yang menggunakan rumput baharu jenis Zeon Zoysia dilihat mudah terkopak sepanjang saingan Pestabola Merdeka pada bulan lalu hingga mencetuskan kritikan ramai pihak selain boleh mengundang kecederaan kepada pemain di atas padang.

Susulan itu, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil menawarkan kepada skuad Harimau Malaya untuk menggunakan Stadium Sultan Ibrahim.

"SNBJ 'Rumah' Harimau Malaya. Para penyokong dan pemain sendiri sudah cukup biasa dengan suasana di stadium ini. Ia kubu kuat pasukan Harimau Malaya.

"Besarlah harapan saya supaya perlawanan pertama Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan pada 16 November ini akan tetap dapat dilangsungkan di SNBJ.

"Selain memudahkan urusan kehadiran penyokong memandangkan SNBJ ini terletak di Lembah Klang sekali gus lebih ramai yang boleh hadir, ia juga membantu mengurangkan tempoh perjalanan pasukan Harimau Malaya sendiri berbanding jika aksi di gelanggang sendiri ini dilangsungkan di luar Lembah Klang," katanya.

Pada kempen kelayakan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Kyrgyzstan, Oman dan Taiwan dengan juara dan naib juara terbaik akan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia dan mara automatik ke Piala Asia 2027, manakala pasukan tangga ketiga dan keempat bakal mengharungi Kelayakan Piala Asia 2027.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 11:55 AM