SKUAD Harimau Malaya meraikan kemenangan mengalahkan Bangladesh 4-1 pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023, Jun lalu. di  Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Aizuddin Saad
SKUAD Harimau Malaya meraikan kemenangan mengalahkan Bangladesh 4-1 pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023, Jun lalu. di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Teka teki venue aksi Piala AFF akhirnya terjawab apabila Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kekal sebagai gelanggang skuad Harimau Malaya pada saingan 'Piala Dunia' serantau itu hujung Disember ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman selepas pihaknya mendapat lampu hijau daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faisal Azumu untuk menggunakan SNBJ.

"FAM ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atas keprihatinan dan persetujuan daripada pihak beliau untuk membenarkan penggunaan SNBJ sebagai 'Home of Harimau Malaya' bagi kempen Piala AFF 2022," katanya.

Semalam, Arena Metro melaporkan SNBJ tetap menjadi pilihan utama FAM sebagai venue Piala AFF meskipun ia sudah ditempah lebih awal oleh pihak luar untuk mengadakan aktiviti di lokasi itu.

Difahamkan beberapa hari sebelum aksi pertama Kumpulan B menentang Laos pada 24 Disember nanti, terdapat konsert bakal diadakan yang menyaksikan permukaan padang akan ditutup, sekali gus memerlukan beberapa hari bagi memulihkan semula rumput di SNBJ.

Jelas Azman lagi, FAM akan bekerjasama rapat dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi memastikan kualiti padang tidak menjejaskan permainan pasukan bertanding nanti.

"Kami sedia maklum mengenai keadaan padang di Stadium Nasional dan akan mengambil langkah bersama dengan PSM dalam usaha memastikan kualiti padang berada pada tahap memuaskan pada perlawanan-perlawanan yang telah dijadualkan itu nanti," katanya.

Ujarnya lagi, beliau berharap penyokong setia Harimau Malaya akan terus memberi sokongan buat pasukan kendalian Kim Pan-gon pada kempen Piala AFF itu nanti.

"Kepada penyokong Harimau Malaya, kami berharap agar aura Stadium Nasional yang ditampilkan ketika Kelayakan Piala Asia 2023, Jun lalu akan dapat diteruskan lagi pada perlawanan-perlawanan yang akan datang ini," katanya.

Selain aksi dengan Laos pada 24 Disember, skuad negara akan turut menjadi tuan rumah untuk perlawanan keempat Piala AFF menentang Singapura pada 3 Januari, dan jika layak ke peringkat seterusnya, aura SNBJ akan terus ditagih di separuh akhir dan final.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 1:22 PM