KHAIRY dilantik Timbalan Presiden FAM dari 2007-2010.
KHAIRY dilantik Timbalan Presiden FAM dari 2007-2010.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Di sebalik pelbagai isu dalaman sedang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika ini, timbul khabar angin kemungkinan badan induk itu bakal berubah wajah pada tahun depan.

Ia selepas timbul cakap-cakap yang mengaitkan kemungkinan barisan Eksekutif FAM yang bakal menamatkan penggal 2021-2025 pada tahun depan akan diisi calon baharu dengan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin disebut-sebut sebagai Presiden baharu badan induk itu.

Menurut sumber, nama Khairy mula dikaitkan mengisi kerusi nombor satu di Wisma FAM di Kelana Jaya itu selepas timbulnya isu surat layang yang mendakwa wujudnya salah laku dalam pengurusan basan induk itu.

"Benar, memang sekarang ada dengar nama Khairy katanya calon untuk gantikan Presiden sekarang. Tapi itu hanya cakap-cakap sahaja, kesahihan tak tahu lagi. Ini mungkin 'gendang' pemilihan FAM yang dah mula dimainkan sebab pemilihan pun dah tak lama hanya tahun depan saja.

"Malah dengan isu surat layang yang masih 'panas' lagi, mungkin khabar angin itu boleh jadi betul. Apapun kita tunggu dan lihat," katanya.

Khairy bukanlah nama asing dalam arena sukan tanah air khususnya bola sepak. Malah, hubungan dengan FAM juga cukup rapat apabila beliau sebelum 'terjun' ke dunia politik pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden FAM dari 2007-2010.

Sebaik dilantik dalam kerajaan sebagai Menteri Belia dan Sukan pada 2013, Khairy individu penting yang memperkasakan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) termasuk mewujudkan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sebagai pusat melahirkan pemain muda berbakat sebelum dieksport ke luar negara.

Pada Kongres Pemilihan ke-57 FAM 2021 lalu, Datuk Hamidin Mohd Amin berjaya mempertahankan jawatan selaku Presiden selepas menang tanpa bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 3:08 PM