HANNAH (tengah) hadir ke Stadium Larkin untuk melihat sendiri rumput jenis hibrid yang akan digunakan di SNBJ selepas ini. FOTO JOHOR SOUTHERN TIGERS
HANNAH (tengah) hadir ke Stadium Larkin untuk melihat sendiri rumput jenis hibrid yang akan digunakan di SNBJ selepas ini. FOTO JOHOR SOUTHERN TIGERS
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim membuktikan betapa sayangnya beliau terhadap bola sepak negara tiada galang gantinya apabila terus menerus tidak lokek membantu arena tempatan.

Terbaharu, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu perkenan menyumbangkan rumput baharu jenis hibrid untuk digunakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), sekali gus mengatasi isu permukaan padang teruk 'di rumah' skuad Harimau Malaya itu.

Menurut Tunku Mahkota Ismail, selepas kajian dilakukan pihaknya mendapati rumput hibrid lebih sesuai digunakan di venue pelbagai fungsi seperti di SNBJ berbanding rumput Zeon Zoysia yang digunakan ketika ini.

Menerusi perkongsiannya di laman sosial, rumput jenis hibrid yang ditanam di Stadium Larkin akan didermakan ke SNBJ manakala rumput Zeon Zoysia sedia ada akan dipindahkan ke padang Majlis Sukan Negara (MSN).

Katanya, perkara berkenaan turut dipersetujui Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selepas hadir melihat sendiri keadaan padang di Stadium Larkin bersama Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John, semalam.

"Hasil kaji selidik yang dijalankan di padang SNBJ menunjukkan rumput hibrid lebih memenuhi keperluan stadium pelbagai guna kerana ketahanan dan fleksibilitinya sesuai untuk acara sukan serta bukan sukan.

"Berdasarkan hasil kaji selidik itu dan kejayaan penyelidikan yang dijalankan oleh kelab bolasepak JDT di Larkin, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor akan mendermakan rumput jenis hibrid yang sedang ditanam di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos kepada Stadium Nasional.

"Rumput Zeon Zoysia yang didermakan oleh Baginda kepada Stadium Nasional sebelum ini akan dibuka dan dipasang di padang Majlis Sukan Negara, KL Sports City.

"Padang itu sering digunakan oleh Sekolah Sukan Bukit Jalil dan pasukan bola sepak negara," kongsi Tunku Mahkota Ismail di laman sosial miliknya.

Untuk rekod, rumput hibrid adalah gabungan rumput tiruan dan rumput sebenar yang lebih kuat di bahagian akarnya dan ia lebih sesuai untuk stadium pelbagai guna yang sering menganjurkan konsert selain perlawanan bola sepak.

Terdahulu, isu permukaan padang di SNBJ tidak pernah reda apabila sering menjadi bahan kritikan dan cemuhan peminat susulan keadaan rumput yang cukup teruk termasuk mudah tercabut dan tidak rata.

Lebih parah lagi, keadaan itu turut menyumbangkan kepada risiko kecederaan buat pemain serta mengganggu rentak permainan.

Penyediaan rumput yang teruk di SNBJ ekoran penganjuran konsert berskala besar apabila pembinaan pentas di atas rumput merosakkan keadaan padang biarpun pelbagai inisiatif diambil Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi mengatasi masalah itu daripada berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 8:53 AM