KEADAAN padang yang rosak selepas  perlawanan Malaysia menentang India.
KEADAAN padang yang rosak selepas perlawanan Malaysia menentang India.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Adakah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kena 'scam' isu padang hingga menyebabkan skuad Harimau Malaya terpaksa beraksi di atas rumput koyak di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada aksi Pestabola Merdeka 2023?

Persoalan terbabit muncul apabila FAM ketika ini dijadikan kambing hitam yang menjadi punca padang di SNBJ rosak teruk pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka membabitkan Malaysia menentang India tempoh hari.

Malah, FAM bakal 'dibom' lagi apabila padang SNBJ mungkin sekali lagi mengalami kerosakan pada pentas final Pestabola Merdeka antara skuad Harimau Malaya menentang Tajikistan hari ini.

Menurut sumber, FAM sebenarnya hanyalah mangsa keadaan kerana rumput yang digunakan di SNBJ sebenarnya hanya 'ditampal' namun bukanlah ditanam di nurseri milik stadium terbabit seperti didakwa oleh pihak tertentu.

Katanya, rumput yang digunakan pada perlawanan Pestabola Merdeka itu dibeli khas dari Thailand dan ditanam dalam hanya tempoh dua sebelum terus digunakan di padang SNBJ sekali gus menyebabkannya rosak pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka.

"Rumput yang digunakan adalah jenis sama iaitu Zeon Zoysia namun apa yang kita lihat di SNBJ bukannya ditanam terlebih dahulu oleh pihak stadium namun hakikatnya dibeli dari Thailand khusus untuk Pestabola Merdeka.

"Pihak FAM faham rumput memerlukan tempoh yang lama ditanam sebelum boleh digunakan namun pada pertemuan sebelum tidak diterangkan secara terperinci berkaitan perkara itu.

"Pada masa sama, pihak berkaitan pula memberi jaminan padang boleh digunakan untuk perlawanan Pestabola Merdeka namun ketika timbulnya isu rumput rosak terus menuding kepada FAM," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan tidak sampai tempoh 48 jam padang baharu SNBJ digunakan namun ia sudah kelihatan rosak sebaik 45 minit pasukan Malaysia beraksi menentang India pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023.

Jelas sekali padang yang bernilai jutaan ringgit itu kelihatan tercabut atau 'koyak' seawal lima minit sepak mula perlawanan membabitkan Malaysia menentang India sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air terhadap kualiti rumput yang digunakan itu.

Selain itu, sumber berkata, FAM tidak pernah bersikap keras kepala apabila tetap mahu meneruskan kejohanan Pestabola Merdeka 2023 walaupun mengetahui padang tidak berada pada tahap terbaik.

"Saya dimaklumkan FAM bersedia mengubah venue Pestabola Merdeka jika SNBJ tidak bersedia pada mesyuarat atau pertemuan bersama pihak berkaitan.

"Sebenarnya, tidak timbul pun isu kekurangan penyokong atau Pestabola Merdeka perlu diadakan di stadium keramat Harimau Malaya kerana FAM perlu faham keadaan padang yang pada ketika ini dalam proses penambahbaikan," katanya.

Mengikut rekod, gelanggang keramat Harimau Malaya yang dirasmikan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bukan sahaja menggunakan rumput baharu, malah proses naik taraf turut dilakukan di bahagian lain termasuk tempat solat dan tandas.

Padang baharu itu menggunakan rumput Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput jenis Cow Grass dianggarkan mencecah kos sehingga RM1.4 juta.

Rumput Zeon Zoysia jenis lasak dengan cuaca hujan dan tahan panas berbanding cow grass yang tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden.

Sementara itu, usaha Arena Metro untuk mendapatkan penjelasan dan komen daripada pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) gagal apabilan panggilan telefon dan kiriman Whatsapp kepada Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Faidz Sanusi tidak berjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 7:03 PM