UBAIDULLAH (kanan) dinaikkan pangkat menyarung jersi skuad utama pada musim ini. -FOTO Ghazali Kori
UBAIDULLAH (kanan) dinaikkan pangkat menyarung jersi skuad utama pada musim ini. -FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Tiga pemain muda daripada skuad Terengganu FC II (TFC II) 'dinaikkan pangkat' menyarung jersi skuad utama dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, tiga pemain berkenaan termasuk dua pemain skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23), Safwan Mazlan dan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili selain Muhammad Faris Rifqi Abdul Rashid.

Jelas Mohd Sabri, ketiga-tiga pemain pertahanan itu dipilih berdasarkan prestasi yang begitu membanggakan dalam saingan Piala MFL (Liga Bolasepak Malaysia) musim lalu selain menjadi tonggak utama skuad B-23 kebangsaan.

"Tiga pemain muda itu berjaya memperagakan aksi cemerlang bersama skuad TFC II pada musim lalu sehingga membantu pasukannya muncul juara Piala MFL edisi pertama selepas menumpaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-0.

"Malah mereka juga sering dipanggil ketua jurulatih skuad utama, Tomislav Steinbruckner untuk membarisi skuad bimbingannya dalam saingan Liga Super musim lalu termasuk aksi final Piala Malaysia menentang JDT.

"Dalam skuad B-23 kebangsaan pula, Safwan dan Ubaidullah adalah antara pemain tonggak, jadi selepas berbincang dengan barisan kejurulatihan, tiga pemain itu wajar didaftarkan dalam skuad utama pada musim baharu ini," katanya.

Pada musim lalu, Safwan kerap bergandingan dengan Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni di posisi pertahanan tengah selepas tonggak import dari Uzbekistan, Sardor Kulmatov mengalami kecederaan lutut.

Manakala Ubaidullah beraksi cemerlang di posisi pertahanan kiri begitu juga dengan Muhammad Faris yang dilihat antara pemain yang paling menyerlah bersama pasukan TFC II.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 1:18 PM