MUHAMMAD Azam Azmi Murad (kiri) raih Pertahanan Terbaik ABK 2023. FOTO GHAZALI KORI
MUHAMMAD Azam Azmi Murad (kiri) raih Pertahanan Terbaik ABK 2023. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kejayaan Terengganu FC (TFC) menggondol empat gelaran dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2023 (ABK2023) membuktikan perubahan yang dilakukan skuad Penyu itu mula membuahkan hasil yang begitu positif.

Selasa lalu, kelab dari Pantai Timur yang muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu itu meraih empat trofi dalam ABK 2023 iaitu Pertahanan Terbaik, Pemain Terbaik Piala MFL, Anugerah Fair Play dan FAN XI.

Pertahanan Terbaik menjadi milik bek kanan skuad itu, Muhammad Azam Azmi Murad, bek kiri Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili meraih trofi Pemain Terbaik Piala MFL manakala anugerah FAN XI menjadi milik Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni dan Muhammad Azam.

Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, kejayaan meraih empat trofi itu adalah antara pencapaian terbaik dan tertinggi pasukan dalam arena bola sepak negara.

"Kejayaan itu adalah antara pencapaian dan pengiktirafan tertinggi kepada individu dan pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) pada musim lalu, tambah menggembirakan ramai lagi jurulatih dan pemain TFC turut dicalonkan.

"Sememangnya anugerah yang dimenangi tiga individu itu adalah layak dan bertepatan jika mengambil kira prestasi mereka sepanjang musim lalu walaupun ada dalam kalangan mereka bukan pemain kebangsaan.

"Jadi kami melihat kejayaan yang diraih itu bukan sahaja meningkatkan lagi motivasi dan corak permainan mereka malah ianya juga mampu menjadi pembakar semangat kepada pemain lain untuk beraksi lebih cemerlang dalam kancah Liga M pada musim 2024/2025.

"Harapan kami pada musim depan lebih ramai lagi pemain TFC yang dinobatkan dalam pelbagai anugerah paling berprestij dalam negara itu," ujar Mohd Syahrizan ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 12:40 PM